banner ad

ZIKRA 2.0, CATATAN INDAH BERSAMA ASNAF

December 1, 2011 | 0

SHAH ALAM, 30 NOV – Hampir 80 orang peserta daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Koperasi Angkasa dan wakil-wakil media, iaitu Bernama Radio 24, Berita Harian, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan TV al-Hijrah telah menyertai Program Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (ZIKRA 2.0) yang diadakan buat kali kedua pada tahun ini. Kira-kira 20 orang kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut mengiringi konvoi ini.

Program ZIKRA 2.0 pada kali ini telah memilih tujuh buah lokasi di Shah Alam, Rawang dan Hulu Selangor sebagai destinasinya. Di Shah Alam, para peserta bermula dari Bangunan Zakat Selangor dan melawati Pusat Dialisis MAIS dan Dobi Point yang diusahakan oleh asnaf zakat di Seksyen 3.

Lokasi berikutnya ialah Restoran Selera Utara di Rawang yang juga diusahakan oleh seorang ibu tunggal asnaf zakat. Para peserta telah menikmati makan tengah hari di situ. Setelah itu, para peserta langsung dibawa menuju ke Hulu Selangor.

Di Hulu Selangor, destinasi pertama adalah Desa Iman, iaitu penempatan berkelompok asnaf muallaf dari kalangan orang asal yang berketurunan Suku Temuan. Terdapat 12 keluarga yang memeluk Islam di sini.

Rombongan ZIKRA 2.0 telah disambut oleh Ustaz Zul Dawam, yang merupakan Penggerak Masyarakat di sini. Dalam ucapannya, beliau amat berharap program ziarah seumpama ini diadakan lebih kerap, memandangkan Desa Iman yang terletak di Kerling ini agak jauh ke pedalaman dan kurang mendapat kunjungan masyarakat luar, khususnya para pendakwah dan organisasi Islam. Di sini, ZIKRA 2.0 telah menyampaikan pelbagai jenis bantuan kepada masyarakat orang asli di sini.

Destinasi selanjutnya adalah Baitul Iman dan Baitul Hasanah yang terletak berdekatan di Kuala Kubu Bharu. Baitul Iman merupakan Pusat Pemurnian Akidah yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Selangor dan merupakan satu-satunya institusi yang bersifat sedemikian di Malaysia. Baitul Iman dibiayai oleh LZS di bawah asnaf riqab.

Baitul Hasanah pula merupakan penempatan bagi anak-anak asnaf fakir dan miskin, yang diwujudkan demi memberikan mereka peluang memperolehi pembelajaran yang lebih baik. Baitul Hasanah Hulu Selangor diwujudkan sejak tahun 2006 lagi dan kini menempatkan 26 orang pelajar, iaitu 12 orang lelaki dan 14 orang perempuan.

Destinasi terakhir ZIKRA 2.0 adalah Pusat Latihan Asnaf Zakat atau PLAZ. PLAZ merupakan sebuah pusat latihan yang baharu sahaja disiapkan pada tahun 2010. Terletak di Jalan Ulu Yam, ia menjadi mercu tanda kejayaan agihan zakat di Selangor. Di PLAZ inilah, pelbagai program latihan dan kursus untuk para asnaf zakat akan dilangsungkan. PLAZ turut dibuka kepada masyarakat luar dengan kadar bayaran yang tertentu.

ZIKRA 2.0 hakikatnya telah berjaya mencapai matlamatnya, kerana berdasarkan maklum balas peserta, mereka menjadi bertambah yakin terhadap LZS bersandarkan kesungguhan LZS mengagihkan zakat di Selangor.

LZS turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada pihak Polis DiRaja Malaysia, Bahagian Trafik, IPK Selangor, kerana telah sudi menyediakan tiga motorsikal peronda bagi mengiringi dan melancarkan trafik konvoi ZIKRA 2.0 pada kali ini.

Kepada semua peserta dan mereka yang terlibat, LZS mengalungkan ucapan terima kasih dan semoga ziarah ini memberikan kita sedikit pencerahan terhadap usaha-usaha LZS dalam memperkasakan kutipan dan agihan zakat di negeri ini.

Comments

comments