banner ad

Mudahkan; jangan payahkan!

January 3, 2012 | 2

Tak payah! Begitulah kata sesetengah orang, bila ditanya apakah perlu melakukan sesuatu. Maknanya, tak perlu sibuk-sibuk memikirkannya. Serahkan sahaja kepada orang lain yang akan menguruskannya. Apa yang penting, di hujung nanti semuanya terlaksana.

Maka, demikian jugalah bagi saya yang bekerja di LZS. Institusi zakat tugasnya adalah memudahkan orang. Jika dahulu nak bayar zakat susah, maka kini dipermudahkan. Tak payah lagi bawa wang tunai, nanti jika tercicir atau dicopet orang, atau hilang, kan payah. Maka, bawa sahaja sekeping cek, atau sekeping kad, sama ada kad kredit atau kad debit.

Dahulu juga, bukan main susah mencari pejabat zakat. Sudahlah susah dicari, bila dah jumpa, susah pula nak cari parkir. Susah cari parkir, dah jumpa, kena bayar pula. Silap hari bulan, kena saman. Alamak…susahnya nak bayar zakat.

Maka, institusi zakat mempermudahkan urusan itu. Tidak perlu bersusah-payah lagi mencari pejabat zakat, cari parkir dan bayar tol segala macam. Caranya, buka sahaja komputer, bayarlah zakat menerusi internet. Mudah sungguh! Sambil makan kacang, sambil tidur hatta sambil pakai kain pelikat berbaju pagoda dan dengar radio pun boleh bayar zakat!

Begitulah penangan inovasi zakat. Mudahkan jangan payahkan pembayar. Apa yang penting, zakat dilangsai dan kewajipan tertunai. Setelah diserahkan kepada pihak amil, pulanglah dengan hati girang. Tidak perlu susah-susah lagi memikirkan, siapakah yang akan menerima wang zakat. Serahkan sahaja kepada para amil untuk mencari mereka. Cukup mudah.

Maka, tugas semua institusi zakat dan para amil pulalah untuk mempermudahkan agihan zakat. Jangan direka-cipta segala prosedur yang remeh-temeh dan yang bukan-bukan. Mudahkan asnaf mendapat apa yang sudah Allah SWT tetapkan. Jika institusi zakat begitu beriya-iya mempermudahkan urusan pembayaran, sebegitu jugalah urusan pengagihan.

Dalam hal ini, selaku pengamal zakat, saya sendiri angkat tangan membantah jika urusan mengagihkan zakat dibuat undang-undang yang payah. Undang-undang perlu, sekadar mengawal agar tidak tersalah guna. Tetapi, jangan sampai wang zakat tidak habis dibelanja. Itu sudah salah namanya.

Maka, saya amat setuju jika kita memudahkan asnaf daripada pelbagai hal-ehwal borang. Jangan diberikan mereka borang yang lembarannya tebal bukan mainan. Jangan disusahkan pula dengan diwajibkan pelbagai jenis lampiran. Cukuplah yang asas. Apa yang penting, maklumat itu memadai demi mengelakkan penipuan.

Apabila pemohon merasa mudah, maka lahirlah kepuasan. Bila lahir kepuasan, semua orang merasa senang hati. Pembayar senang hati, penerima senang hati dan pastinya, kami para amil juga akan turut senang hati. Inilah hikmahnya sabda Nabi SAW:

يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا

“permudahkan, dan jangan kamu perpayahkan.” (HR Muttafaqun ‘alaih)

Wallahua’lam.

Comments

comments