banner ad

ZAKAT WAJIB ATAS KANAK-KANAK?

February 23, 2012 | 0

(Foto dari dakwah.com.my)

Apakah wajib seorang yang tidak siuman (gila atau tidak waras) mengeluarkan zakatnya, sedangkan mereka sendiri tidak mukallaf. Begitu juga, adakah seorang anak yatim atau kanak-kanak di bawah usia baligh atau di bawah usia 18 tahun, wajib mengeluarkan zakat mereka, sedangkan mereka masih di bawah umur?

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan pertanyaan. Tidak dinafikan, memang ramai yang tidak mengetahui status kanak-kanak dan orang gila di sisi zakat, yakni jika mereka adalah orang yang kaya dan punya harta yang cukup segala syarat wajib zakat, adakah mereka juga wajib berzakat?

Maka, perkara pertama yang harus difahamani ialah, di dalam lima syarat asas wajib zakat itu, tidak disebutkan akil dan baligh (berakal dan cukup umur). Suka diulangkan di sini, lima syarat asas wajib zakat ialah, Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan cukup haul.

Maka, dalam mendepani hal ini, sebahagian fuqaha berpandangan bahawa harta kekayaan yang sudah cukup syaratnya yang dimiliki oleh golongan orang gila, yang tidak siuman dan kanak-kanak adalah wajib dizakatkan. Pandangan ini dikemukakan oleh fuqaha terdahulu misalnya oleh Atha’, Jabir bin Zaid, Mujahid dan Zuhri yang kemudiannya disokong oleh Malik, Syafie, Ahmad, Ishaq dan lain-lain lagi.

Mereka telah menyandarkan pandangan ini kepada keumuman perintah zakat, sebagaimana yang telah dititipkan oleh Rasulullah SAW kepada Muadz bin Jabal saat baginda mengutuskannya ke Yaman, sabda Nabi SAW: “Ajarkan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan zakat yang diambil daripada kekayaan orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang fakir dalam kalangan mereka.” (Hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, wali atau waris merekalah yang wajib mengeluarkan zakat tersebut. Yakni, menjadi wakil bagi mentaksirkan harta dan seterusnya menunaikan zakat yang wajib daripada harta mereka apabila cukup syarat-syaratnya.

Manakala bagi anak yatim, wali merekalah yang wajib menunaikan zakat bagi pihak diri mereka apabila cukup nisabnya. Umur 18 tahun tidak terbabit langsung di dalam menentukan wajib atau tidak zakat kepada seseorang.

Bahkan rasulullah pernah menegah daripada membiarkan harta anak yatim habis dimakan zakat dengan mengarahkan agar ia dikembangkan, sebagaimana sabda baginda: “Ketahuilah, sesiapa yang menjadi wali bagi anak yatim yang ada harta, hendaklah ia memperniagakannya (supaya bertambah kembang) dan janganlah ia membiarkan harta itu (berterusan susut) – dimakan oleh zakat,” (Hadis Riwayat Termizi). Wallahua’lam.

Comments

comments