banner ad

SAMBARUNDING INOVASI PUTERI

June 27, 2012 | 0

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dia kelihatan begitu ceria, teruja dan bersemangat menceritakan perniagaannya. Jelas, dia memang positif dengan kehidupan. Tidak lokek berkongsi idea, wawasan masa depan dan apa yang sedang dilakukannya. Apabila ditanya, apakah tangkal azimat yang menjadi pegangannya, dia dengan yakin menyatakan: “Musibah itu indah, yang sudah pasti Allah janjikan di sebaliknya adalah hikmah.”

Kali ini, mari kita sama-sama terokai kisah dan perjuangan Puteri Sharron Aldila binti Abdul Shukor, 43 seorang ibu tunggal beranak lima yang tidak pernah menyesali takdir hidupnya. Membina rumahtangga yang bertahan separuh jalan, bertatih kembali dari awal dan menggagahi kembali kehidupan dengan bekal semangat yang tinggal, dia lakukannya dengan berani dan penuh tawakal.

“Saya dulu bekerja di ejensi periklanan. Selepas mendirikan rumah tangga, saya mengambil keputusan berhenti kerja. Lantaran itu, kehidupan selepas perceraian bukanlah suatu medan yang mudah. Selepas 12 tahun bergelar suri rumah; untuk kembali menceburi dunia pekerjaan memang payah.

“Tetapi, seperti mana yang saya nyatakan sebelum, kehidupan adalah penuh hikmah. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain atas kegagalan diri.”

Demikianlah ungkapan demi ungkapan dilontarkan oleh wanita penuh visi ini. Dia turut menerangkan, biarpun sudah berpisah dengan suaminya; namun perhubungan mereka terus berlangsung dengan baik. Bahkan, kala krew Jejak Asnaf mewawancaranya, seorang wanita dalam lingkungan usia penghujung 60-an sentiasa mesra menyuguhkan pandangan kepadanya dan ternyata, wanita itu ialah ibu mertuanya!

“Selepas berpisah, saya cuba bekerja, maklumlah kehidupan di bandar memang mencabar. Jika dikenang kembali saat penuh kesusahan itu, memang agak menjerakan.”

Tidak sukar bagi penulis memberikan gambaran, fenomena biasa bagi mereka yang pernah dan terpaksa melalui kesusahan hidup di bandar antaranya ialah, tidak mampu menyediakan wang bagi segala urusan, menjelaskan pelbagai bil, bayaran ansuran rumah dan juga menyediakan keperluan asasi bagi anak-anak. Fenomena yang sama menimpa Puteri Sharron.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) memberikan bantuan kepada saya sejak tahun 2008. Saya pada awalnya malu untuk memohon bantuan zakat; bahkan terasa diri ini tidak layak. Tetapi, layak atau tidak, akhirnya ditentukan oleh LZS.

“Sejak itu, saya menerima pelbagai manfaat daripada LZS. Saya pernah menerima bantuan bulanan dalam bentuk kewangan dan makanan; bantuan Ramadan dan hari raya, juga bantuan pendidikan untuk anak-anak. Semua ini memberikan saya kelegaan yang sukar digambarkan.” Jelasnya tanpa mahu berselindung.

“Namun, apa yang menjadi kunci kepada kesungguhan saya untuk berubah ialah, apabila LZS menawarkan bantuan perniagaan kepada saya. Sebenarnya, kakak angkat saya telah memberikan saya suatu resepi yang unik, iaitu serunding pucuk ubi. Itulah produk pertama yang saya yakin telah berjaya menjadi kunci kejayaan perniagaan ini.

“Selepas serunding pucuk ubi itu mendapat permintaan ramai, saya mencuba untuk mempelbagaikan resepi. Alhamdulillah, kini beberapa resepi baharu telah saya cipta yang semuanya berasaskan serunding dan sambal. Di antaranya serunding pegaga, serunding jantung pisang, serunding udang geragau, sambal garing peria tempe, sambal garing ikan masin, sambal garing petai, sambal garing bilis tamban.”

Puteri Sharron kemudian mengambil beberapa produk yang telah siap dan mempamerkannya kepada kami. Memang cantik dan menarik cara pemaketan dan persembahannya. Nampak profesional dan elegan.

“Saya manfaatkan sepenuhnya ilmu dan pengalaman dalam bidang periklanan. Saya tidak mahu buat sesuatu separuh jalan; biar produk kita menjadi perhatian orang dan semua orang tertarik mahu merasainya.” Tambahnya lagi.

Kemudian, Puteri Sharron segera mencapai sebotol serunding pucuk ubi dan mempersilakan kami merasainya. Ternyata, rasanya begitu rangup, unik dan sedap. Jujurnya, inilah kali pertama saya merasai serunding berasaskan tumbuh-tumbuhan; kerana selama ini kita hanya disajikan serunding berasaskan ikan dan daging.

“Syukur, produk saya sudah diterima di sekitar Lembah Klang dan kini saya melebarkan ke Selatan dan Utara tanah air. Saya juga turut bergabung dalam sebuah rangkaian pasaran di internet dan produk saya boleh dipesan di www.sambalrunding.edymart.com. Insya-Allah, dalam masa terdekat saya mahu memasarkan produk saya ke peringkat antarabangsa pula. Doakanlah, semoga semuanya dipermudahkan Allah.” Katanya lagi penuh harapan.

Melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan, penulis yakin Puteri Sharron mampu mencapai apa yang diimpikannya dalam tempoh masa yang terdekat. Tidak sia-sia rasanya LZS menyediakan peruntukan RM16,000 sebagai modal perniagaannya sebelum ini. Bahkan, dia juga berazam untuk melunaskan zakat perniagaannya pada tempoh yang terdekat.

“Saya tidak mampu menyajikan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat; kerana bantuan zakat benar-benar memberikan erti kepada saya. Hanya kepada Allah SWT sahajalah saya berdoa, agar mengganjari sejuta kebaikan buat mereka, kebaikan di dunia hingga akhirat.” Tuntasnya jelas dan penuh bersemangat.

Nota: Kepada para peniaga yang berminat untuk memasarkan pelbagai produk serunding Puteri Sharron, beliau boleh dihubungi di facebook.com/puteri.sharon atau di talian 010-2212217.

Comments

comments