banner ad

Blog Zakat Kini SETAHUN!

August 17, 2009 | 0

29 Ogos ini, maka genaplah setahun usia Blog Zakat ini. Tidak saya sangka, begitu cepat masa berjalan. Dahulu, ketika mula-mula melontarkan idea agar LZS memiliki blog sendiri, terasa takut pun ada. Maklumlah, siapalah yang akan mengendalikan blog ini. Portal e-zakat tak apalah, ada kakitangan khas daripada ICT yang akan mengendalikannya.

Namun, berbekalkan semangat dan keazaman, maka saya gagahkan juga. Berkat sokongan dan dokongan kawan-kawan, sama ada yang menyumbangkan idea, penulisan mahu pun  sekadar kata-kata – pun saya hargai semuanya – maka akhirnya blog ini terus mampu bertahan walau pernah hampir-hampir kekeringan idea menjananya. Iyalah, ini blog zakat maka bahan-bahanya biarlah yang berkaitan dengan zakat, dan alhamdulillah…nampaknya bahan-bahan mengenai zakat tidak habis walau zaman terus berubah dan kami di LZS mampu meneruskan hayat blog ini hingga kini.

Mengimbau kembali saat awal kelahiran blog ini, saya selaku editor mengalungkan ucapan terima kasih kepada pihak Ketua JDK, Hjh Adibah justeru keyakinannya agar blog ini direalisasikan. Juga terima kasih saya kepada En Zuhisham, dari ICT, kerana beliau yang mula-mula berusaha menyediakan tapak ini juga mengajar saya sedikit-sebanyak selok-belok mengendalikan sebuah blog. Hingga kini, En Afif pula yang banyak memberikan bantuan demi memperkasakan blog ini dan saya bagi team blogger LZS ini amat-amat menghargainya.

Kini, cabaran yang lebih besar ialah bagaimana memasarkan blog ini kepada masyarakat. Sememangnya matlamat asal kewujudan blog ini adalah:

1. Menyediakan ruang komunikasi dua hala antara LZS dan masyarakat
2. Menjadikan medium dakwah lebih santai dan relaks
3. Merapatkan perhubungan di antara LZS dan massa
4. Mendapatkan pandang-pandangan bernas dan kritis daripada orang ramai demi kebaikan LZS
5. Menyediakan alternatif media internet kepada pengguna maya dalam mengenali Islam khususnya zakat

Hm…setahun berlalu, tercapaikah sudah segala sasaran ini?

Comments

comments