Sejarah zakat…


Buku mengenai zakat memang banyak terdapat di pasaran. Namun, tidak semuanya mampu memenuhi apa yang kita mahu. Saya sendiri misalnya, amat memerlukan beberapa informasi mengenai sejarah zakat – misalnya zakat pada periode Bani Abbasiyah dan Turki Uthmaniyyah – memang susah memperolehinya. Ditambah lagi dengan keterbatasan bahasa dalam membuat rujukan, maka saat-saat seperti inilah saya merasa rugi sangat, kerana waktu di UKM dahulu saya ada kawan-kawan dari Arab dan Turki; tetapi hubungan kami putus setelah saya melangkah keluar dari bumi UKM.

Di dalam kitab tafsir misalnya Tafsir Fi Zilalil Quran tulisan as-Syahid Sayid Qutb misalnya, ada membahaskan mengenai zakat dan perkaitannya dengan golongan munafikin. Beliau mengulas ayat-ayat al-Quran di dalam surah at-Taubah dan di sana kita akan menemui satu nama yang bagi saya cukup tersohor sebagai manusia paling kedekut – iaitu Tsa’labah. Sayid Qutb menyebutkan, bahawa Tsa’labah adalah model manusia yang rosak hatinya, justeru enggan menunaikan zakat bahkan menganggap zakat itu pajak atau cukai. Nantilah, saya akan bawakan kisah Tsa’labah kemudian. Namun saya cukup bimbang juga, memandangkan Tsa’labah adalah salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang telah turun ke medan Badar al-Kubra. Mereka yang turun ke medan Badar adalah para sahabat yang dijamin syurga. Justeru itu, saya sendiri tidak pasti yang mana satukah Tsa’labah ini, ada dua orang satu namakah atau memang orang yang sama? Wallahua’lam.

Seperkara lagi, di dalam kebanyakan buku zakat, majoritinya menyatakan tahun permulaan diwajibkan zakat ialah pada tahun kedua hijrah. Ia bermaksud, sebelum itu semasa di Makkah, zakat masih belum diwajibkan lagi. Maka, bagaimana pula dengan beberapa ayat al-Quran yang menyentuh tentang zakat dan ia diturunkan di zaman pra-hijrah yakni di Kota Makkah. Misalnya ayat ini: “Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu),” (al-Mukminun: 4)

Ini juga menjadi persoalan yang menarik untuk kita telusuri bersama, bahawa adakah benar bahawa zakat adalah syariat yang kewajipannya difardukan selepas hijrah?

Satu perkara lagi, saya juga sedang menekuni peranan dan jasa yang telah dilakukan oleh Khalifah Islam yang pertama, iaitu Sayidina Abu Bakar r.a dalam memperkasakan zakat. Ini kerana, setakat pembacaan awal yang saya lakukan, Abu Bakar memerangi tiga golongan yang dikenali sebagai puak ar-Riddah atas tiga sebab, pertama golongan yang mengisytiharkan keluar Islam secara nyata; kedua golongan nabi palsu dan ketiga golongan yang enggan membayar zakat. Bagi golongan yang enggan membayar zakat ini pula, saya menemui informasi bahawa ia terbahagi dua, pertama golongan engkar zakat dengan berpendapat hukum zakat terangkat dengan wafatnya nabi manakala kedua, golongan yang masih berzakat tetapi enggan menyerahkannya kepada khalifah atau imam di Madinah sebagaimana yang biasa dilakukan sebelum wafatnya rasul.

Yah…makin saya mengkaji sejarah zakat, makin banyak yang menarik saya jumpai…

Comments

comments

one comment

  1. Nagobonar

    sebelum hijrah mungkin ianya dipanggil infaq…selepas baru la dipanggil hijrah (bersih)

Leave a comment