Soalan: Apakah makna Had al-Kifayah dalam agihan zakat?


Had al-Kifayah adalah salah satu daripada elemen pengurusan zakat. Ia merupakan suatu inovasi di dalam penentuan fakir dan miskin seseorang. Secara mudah, ia adalah satu alat pengukuran kaya-miskin yang dicipta, berdasarkan keperluan semasa demi memperolehi keputusan yang lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).
 
Dari aspek bahasa, Had al-Kifayah dipetik daripada bahasa Arab, iaitu perkataan ‘al-kifayah’ (الكفاية) yang sama maknanya dengan ‘al-kafaf’ (الكفاف) yang membawa maksud ‘cukup.’ Apabila dikaitkan dengan zakat, maka Had al-Kifayah membawa maksud ‘tahap keperluan (kecukupan) asasi untuk kehidupan seseorang tanpa lebihan.’
 
Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Had ini digunakan bagi menentukan kadar yang perlu dibantu untuk memenuhi keperluan asas bulanan setiap individu dan tanggungan di bawahnya’.
 
Walau apapun definisi yang diberikan, istilah Had al-Kifayah ini memberikan konotasi yang sama, iaitu suatu kaedah pengukuran dan penetapan tahap kecukupan seseorang atau sebuah keluarga demi melayakkan seseorang itu dikategorikan sama ada kaya, miskin ataupun fakir di sisi Islam.
 
Di antara kepentingan Had al-Kifayah ini, ia memudahkan pihak pengurusan zakat dalam menentukan kemiskinan pada hari ini yang sebenarnya sudah terbahagi kepada tiga jenis, iaitu:
 
1. Kemiskinan tegar
2. Kemiskinan biasa
3. Kemiskinan bermusim
 
oleh itu, kepelbagaian fasa kemiskinan ini memerlukan satu kaedah tersendiri bagi mengenal pasti kedudukan mereka. Ini kerana, bantuan yang lebih sesuai akan dapat disalurkan jika institusi zakat mampu mengenal pasti secara lebih mendalam mengenai keperluan seseorang asnaf.
 
Sementara itu, had al-Kifayah ini juga mampu mengelakkan kesilapan dalam mentafsirkan tahap kekayaan dan kemiskinan seseorang. Ini kerana, ada kalanya seseorang itu dilihat zahirnya kaya; namun hakikatnya dia miskin. Ada orang, zahirnya dilihat miskin; namun hakikatnya dia kaya. Inilah antara kesulitan yang dapat diatasi dengan perlaksaan formula had al-Kifayah ini.

Comments

comments

Leave a comment