banner ad

Apa kedudukan zakat dalam rukun Islam?

May 6, 2010 | 3

Oleh: www.hamizul.com

Selalunya orang suka menyebut bahawa zakat adalah rukun Islam yang keempat. Namun, ada juga yang menegaskan ia adalah rukun Islam ketiga. Maka, yang mana satukah betul atau tepat?

Umumnya wujud dua pendapat, ada menyatakan rukun Islam ketiga ialah puasa Ramadan dan ada yang menyatakan rukun ketiga Islam ialah zakat. Ini kerana, kefarduan zakat datang setelah datangnya kefarduan puasa Ramadan pada tahun kedua hijrah. Namun begitu, zakat adalah lebih sesuai diletakkan sebagai rukun Islam ketiga.
 
Hujahnya, zakat sudah diseru oleh Allah SWT sejak zaman Mekah lagi. Bahkan zakat juga disebutkan di dalam hadis sebagai rukun ketiga selepas daripada solat. Lagi pun di dalam al-Quran sendiri, Allah SWT banyak menggandingkan zakat seiring solat. Ada 30 ayat semuanya.
 
Dalil al-Quran: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah daripada yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,” (at-Taubah: 71).
 
Dalil al-Hadis: “Daripada Abu Abdur Rahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radiallahuanhuma dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangunkan di atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah selain Allah dan bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan. (Riwayat Turmuzi dan Muslim)
 
Inilah pandangan yang dikemukakan oleh ulamak fikah mutakhir, misalnya Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya ‘Hukum Zakat.’ Ia sesuai dengan kedudukan zakat yang sering digandingkan dengan solat di samping penegasan Rasulullah SAW kepada Muadz bin Jabal r.a sendiri, bahawa antara perkara utama yang perlu ditekankan dalam tatacara hidup bersyariat di Yaman, adalah dengan menunaikan zakat sesudah solat.
 
Sabda Rasulullah SAW kepada Muadz: “Kamu akan berada di tengah-tengah umat ahli kitab (agama samawi yang lain). Ajaklah mereka mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan saya (Muhammad) adalah utusan-Nya. Bila mereka menerima, khabarkanlah kepada mereka bahawa mereka diwajibkan solat lima kali dalam sehari semalam. Apabila mereka melaksanakannya, (maka) beritahukan pula bahawa mereka diwajibkan mengeluarkan zakat yang dipungut daripada orang-orang kaya dan (diagihkan) kembali kepada orang-orang miskin (di kalangan mereka),” (Sebahagian hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua’lam.

Comments

comments