New Page 1

Sembang Zakat

Sembang Zakat


Galaksi Zakat

New Page 2


 

2.5% yang menjamin keberkatan – Pt 2#

Oleh: www.hamizul.com

Maka, kita sewajarnya berusaha mencari keberkatan agar hidup menjadi bahagia. Allah SWT sudah menjamin, bahawa tiada kekhuatiran kepada mereka yang suka berkongsi kekayaan. Bahkan hati mereka akan sentiasa dibaluti keceriaan dan dijauhi kesedihan. Tiada makna wang banyak jika hati merana, ditinggalkan pasangan, disingkirkan daripada keluarga sendiri atau hanya didatangi kerana harta semata. Habis ‘madunya’, ditinggalkan keseorangan semula.

Inilah realiti berkat. Tidak susah untuk mendapatkannya namun amat sedikit manusia yang berusaha mengejarnya. Bayangkan, dengan hanya memperuntukkan 2.5% daripada rezeki iaitu pendapatan bulanan kepada zakat, sudah memadai untuk memperolehi berkat daripada Allah SWT. Itulah zakat pendapatan kita, yang sering dianggap ‘tidak mengapa’ diabaikan. Walhal jika sudah zakat namanya, ia adalah wajib dan berdosalah jika sengaja mengacuhkannya begitu sahaja.

Hakikatnya juga, Allah SWT sebenarnya Maha Tahu bahawa manusia akhir zaman akan berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan. Kenaikan harga barang termasuklah minyak petrol, peningkatan gejala sosial, keruntuhan akhlak, jenayah di sana-sini termasuklah bencana alam sebenarnya adalah satu peringatan daripada Allah SWT. Jelasnya, dunia ini dan kita semua adalah milik Allah, maka kita sepatutnya sedar apakah resipi bagi mencari kasih sayang Allah dan di dalam masa yang sama mencari jalan menghindari perkara-perkara yang mendatangkan kebencian Allah.

Oleh itu, di antara perkara yang dibenci Allah ialah kita terlalu menumpukkan kekayaan sehingga mengabaikan hak-hak yang wujud pada harta-harta itu. Inilah sifat yang dipanggil melampau atau ekstrim dalam berharta, seperti si Qarun yang dibenamkan Allah SWT ke dalam bumi dahulu kala. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak mengasihani orang-orang yang berlebihan,”  (al-A’raf: 31).

Sebaliknya, Allah SWT amat menyukai orang-orang yang sentiasa berkasih-sayang, membantu sesama manusia dan memberikan manfaat kepada seluruh alam. Firman Allah lagi: “Belanjakanlah hartamu pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat baik,” (al-Baqarah: 195)

Zakat adalah salah satu jalan daripada pelbagai jalan alternatif demi mendapat keberkatan hidup. Jika tidak, masakan Islam mewajibkan zakat dan mengangkatnya sebagai satu daripada lima tiang agama Islam. Apabila zakat dihayati, maka barulah lahir keindahannya. Apakah kita tidak teringin mendapat habuan di dunia dengan hidup di dalam kedamaian? Hidup pula di akhirat kelak terhindar daripada bakaran dan ditempatkan di syurga penuh kenikmatan? Ingatlah, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat juga adalah sebahagian daripada hak-hak badan kita yang perlu ditunaikan.

Bak kata hadis nabi: “Jasad kamu mempunyai hak, adalah menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikannya hak-hak tersebut,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, marilah kita berzakat dengan seikhlas hati. Mudah-mudahan kita bisa meraih bahagia di dunia dan juga di akhirat nanti. Wallahua’lam.

Leave a Reply

 

 

 

You can use these HTML tags

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>