banner ad

Amil menggunakan wang zakat?

August 10, 2010 | 1

Soalan: Adakah salah sekiranya amil menggunakan wang zakat? Bukankah wang zakat khusus untuk orang fakir dan miskin?
 
Jawapan: Memang ada yang terkeliru mengenai kedudukan amil dalam pengurusan zakat. Daripada sudut hukum, amil zakat memang berhak kepada harta zakat. Ini kerana, sudah disebut secara terang bahawa amil memang satu daripada lapan asnaf zakat. Ia adalah hukum yang sudah qatie’ (putus) dan bukannya bersifat ijtihad atau khilaf.

Foto sekadar hiasan…
 
Allah SWT telah menyebut amil sebagai asnaf yang muqaddam (terawal) di samping fakir, miskin dan mualaf  (at-Taubah: 60). Nabi Muhammad SAW juga menyatakan, hendaklah dilayani amil (petugas zakat) itu dengan baik (mafhum hadis riwayat Muslim). Ini menunjukkan, status amil adalah penting dalam pengurusan zakat. Kompetensi amil mempengaruhi keseluruhan perjalanan operasi zakat.
 
Dalam sejarah, pada zaman Umar al-Khattab r.a, baginda telah menyusun pentadbiran negara dengan baik dan melantik amil secara bergaji tetap. Bahkan diwujudkan amil khas yang bertugas menaksir harta umat Islam. Umar juga mengemaskini Baitul Mal, sebagai gudang pengumpulan harta termasuklah harta zakat.


 
Semua ini menjadi dalil dan bukti, bahawa amil hendaklah diperkasakan. Apabila amil perkasa, misalnya diberikan imbuhan atau gaji yang selesa, maka mereka dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja menguruskan zakat dengan lebih efisien. Mereka tidak perlu mencari kerja lain untuk menambahkan pendapatan sehingga mengganggu tugas hakiki mereka sebagai amil.
 
Namun, Islam memperuntukkan amil hanya berhak sebanyak 1/8 daripada dana zakat yang dikumpulkan. Dengan peruntukan 1/8 itulah amil memanfaatkannya untuk belanja mengurus, membeli aset atau harta dan sebagainya lagi.
 
Mungkin ada yang mengatakan, apakah perlu para amil dilengkapi dengan alatan canggih. Misalnya, komputer terkini dan kenderaan yang baik?
 
Sebenarnya, semua ini dibeli dan digunakan oleh amil adalah demi kebaikan seluruh asnaf zakat yang lain. Dengan kecanggihan teknologi misalnya, ia memudahkan proses penyimpanan data asnaf.
 
Para pembayar zakat juga mendapat kemudahan dengan kecanggihan sistem yang digunakan, iaitu mereka makin mudah untuk membayar zakat. Semua ini dijana dengan peruntukan 1/8 amil.
 
Kesimpulannya, amil adalah satu tugas yang sangat mulia. Amil adalah satu jawatan yang disebut secara terang dan jelas di alam al-Quran. Amil adalah manusia yang terpilih di kalangan manusia lain. Untuk memastikan usaha menangani kemiskinan dan menyantuni keperluan asnaf yang lain tercapai, amil juga memerlukan sokongan material. Maka, dana zakat itulah yang membantu amil memastikan keseluruhan asnaf zakat terbela nasibnya. Wallahua’lam.

Comments

comments