Bicara Zakat


Soalan: Ada pihak yang mempertikaikan keberkesanan agihan zakat. Sejauh manakah pihak institusi zakat menyediakan bantuan kepada asnaf zakat?

Jawapan: Sebenarnya usaha memperkasakan agihan zakat, memang dilakukan dari semasa ke semasa. Ia sesuai dengan aspirasi umum institusi zakat, misalnya di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri untuk memastikan asnaf zakat terbela dan ummah juga perkasa dengannya.

Walau bagaimanapun, usaha memperkasakan asnaf zakat, khususnya golongan fakir dan miskin bukanlah suatu perkara mudah. Berbicara dalam konteks LZS sendiri, sejak lebih 15 tahun pelbagai inisiatif telah diambil.

Agihan zakat kepada lapan asnaf misalnya, telah dimantapkan dengan pembentukan lima jenis program, iaitu Program Pembangunan Ekonomi, Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Sosial, Pembangunan Insan dan Pembangunan Institusi Agama.

Menerusi lima program teras ini, LZS memastikan setiap asnaf zakat disantuni dengan optimum. Asnaf fakir dan miskin misalnya, mendapat pakej bantuan yang paling komprehensif. Dalam aspek pendidikan misalnya, asnaf zakat dibantu sejak anak-anak mereka mula memasuki pra-sekolah sehinggalah ke universiti, termasuklah di luar negara.

Daripada aspek sosial, mereka juga dibantu melengkapi keperluan hidup. Bantuan wang saraan bulanan disediakan di samping bantuan pemilikan rumah. Bahkan bantuan modal perniagaan pun disediakan, berserta dengan pelbagai kursus kemahiran perniagaan di bawah aspek ekonomi. Malah, diri asnaf turut diperkasakan dengan ilmu dan amal ibadahnya, menerusi pembangunan insan yang dinamakan Program Tahsinul Ibadah dan Tahsinul Qiraah.

Bagi asnaf yang tidak termasuk ke dalam kategori fakir dan miskin, maka mereka dibantu berdasarkan keperluan semasa. Orang Islam yang terjebak dengan belenggu hutang, misalnya menanggung kos rawatan, maka mereka disantuni di bawah pembangunan sosial menerusi asnaf gharimin.

Begitu juga usaha memartabatkan dakwah dan tarbiyyah Islamiyah, maka pelbagai program diatur di bawah Program Pembangunan Insan dan Institusi Agama dan ia tertakluk kepada asnaf fisabilillah mahu pun asnaf mualaf.

Sebenarnya masih banyak jenis bantuan zakat yang tidak mampu dipaparkan di sini. Semuanya bermatlamat menyediakan ruang kehidupan yang lebih baik kepada asnaf zakat khususnya dan umat Islam umumnya. Ini adalah sesuai dengan roh dan gagasan zakat, seperti mana yang dinyatakan oleh Sayid Sabiq di dalam kitabnya, Fikih Sunnah, iaitu bantuan zakat itu hendaklah memenuhi keperluan asnaf zakat.

Oleh itu, umat Islam hendaklah menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat agar usaha pemerkasaan asnaf zakat dapat berjalan dengan baik. Umat Islam khususnya pembayar zakat juga berhak memantau perjalanan institusi zakat, kerana dengan adanya pemantauan itu, pasti ia akan menjadi pemangkin kepada ketelusan dan keberkesanan institusi zakat dalam melaksanakan tugasnya. Wallahua’lam.

Comments

comments

3 comments

  1. mustapha b ahmad

    salam,saya seorang kakitangankerajaan yang tinggal di selangor dengan pendapatan sekitar 2000 sebulan,mempunyai 3 orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja,persoalannya adakah zakat diwajibkan keatas saya?
    2.Baru2 ini saya ada menerima wang daripada simpanan saya di kwsp sejumlah 25,000 adakah saya perlu menzakatkan wang yang saya terima itu atau adakah zakatnya telah di bayar oleh pihak kwsp.
    3.Perlukah saya menunggu sehingga genap setahun wang tersebut,atau adakah saya perlu mengeluarkannya sekarang
    berapakah kadar yang dikenakan?

  2. Administrator

    Salam Sdr Mustapha, ini adalah jawapannya:

    1. Saya seorang kakitangan kerajaan yang tinggal di selangor dengan pendapatan sekitar RM2,000.00 sebulan, mempunyai 3 orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja, persoalannya adakah zakat diwajibkan keatas saya?

    Bagi mengetahui sama ada saudara dikenakan zakat, maka mari kita lihat:

    Pendapatan (setahun) (A):

    Gaji – RM2,000.00 x 12 bulan = RM24,000.00
    Lain-lain – (Jika ada)

    Jumlah: RM24,000.00

    Tolakan had al-kifayah (setahun) (B):

    Diri sendiri – RM8,200.00
    Isteri – RM5,000.00
    Anak-anak – RM2,200.00 (jika usia 7 – 17 th)
    Anak-anak – RM1,500.00 (jika usia 6 th ke bawah) x bil
    Tanggungan kepada ibu bapa – RM? setahun x bil
    Caruman KWSP – 11%
    Caruman ke Tabung Haji – RM? setahun
    Caruman kpd mana-mana institusi yang membuat bayaran zakat – RM? setahun

    Jadi, A – B = C x 2.5% = zakat

    2.Baru-baru ini saya ada menerima wang daripada simpanan saya dari KWSP berjumlah RM25,000.00. Adakah saya perlu menzakatkan wang yang saya terima itu atau adakah zakatnya telah di bayar oleh pihak kwsp?

    Saudara wajib membayarnya sendiri. Jumlah zakatnya hanya RM25,000.00 x 2.5% = RM625.00 sahaja

    3.Perlukah saya menunggu sehingga genap setahun wang tersebut, atau adakah saya perlu mengeluarkannya sekarang
    berapakah kadar yang dikenakan?

    Sebaik-baiknya ia dikeluarkan sekarang tanpa menunggu setahun.

  3. nazirah

    Assalamualaikum, boleh ke saya berikan zakat simpanan kepada anak-anak saudara yang masih belajar? Terima kasih.

Leave a comment