banner ad

Bicara Zakat: Asas dan Dalil Kewajipan Zakat Saham

October 15, 2010 | 0

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Soalan: Saham adalah perkara baharu yang tiada pada zaman Rasulullah SAW. Apakah dalil yang menjadi sandaran kepada wajibnya zakat saham di negara ini?

Jawapan: Fikah Islam sebenarnya amat anjal dalam meraikan perkara-perkara baharu. Apatah lagi perkara yang berkaitan dengan harta. Ini kerana, kehidupan manusia sentiasa berubah. Maka, corak pemerolehan harta pada hari ini sudah pasti jauh berbeza dengan masa dahulu.

Corak ekonomi misalnya, sudah pun berubah. Dahulu, manusia mengamalkan sistem barter; kini matawang menjadi perantaranya. Dahulu juga, matawang adalah dalam bentuk emas dan perak (dinar dan dirham); kini wang kertas (fiat) menjadi gantinya.

Maka, kekayaan yang terhasil melalui saham dikategorikan jenis harta baharu. Ia adalah hasil evolusi dalam ekonomi. Ia cukup popular pada hari ini. Manusia menjadikan saham sebagai mata pencariannya dan mencipta kekayaan sekelip mata dengannya. Apabila sudah kaya, maka wajiblah berzakat.

Nabi menyatakan: “Bayarlah zakat kekayaan kamu yang dengannya kamu memperolehi kesenangan,” (Riwayat Tabrani daripada Abu Darda).

Ibnu Asyir dalam mengungkapkan kekayaan menyatakan: “kekayaan pada mulanya berarti emas dan perak; tetapi kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang disimpan dan dimiliki,” (Hukum Zakat, hal. 123). Maka, walau apa sahaja namanya, selagi mana ia adalah kekayaan maka hendaklah dizakatkan.

Sementara itu, para ulama mutakhirin membahaskan saham ini sebagai satu daripada jalan perniagaan. Mereka menyatakan, sesiapa yang memperniagakan saham maka saham itu dikira sebagai barang dagangan. Oleh kerana saham merupakan salah satu daripada barang dagangan, maka kewajipan zakat ke atasnya samalah seperti kewajipan zakat ke atas harta perniagaan yang lain.

Dalam hal ini, mereka menyandarkan kepada dalil berikut: “Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (berzakat) sebagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu,” (al-Baqarah: 267).

Menurut fuqahak, apa yang disebutkan sebagai hasil usaha itu adalah apa sahaja yang diperolehi sama ada dari dalam perut bumi atau di atasnya. Tumbuh-tumbuhan dan hasil usaha yang diperolehi dari atas bumi seperti penternakan, perdagangan dan perikanan adalah wajib dizakatkan.

Maka, saham juga adalah hasil usaha yang diperolehi di atas muka bumi. Selagi mana saham itu adalah halal, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat sebagai memenuhi kehendak dan perintah Allah SWT ini. Wallahua’lam.

Comments

comments