Belajar selain bidang agama, bolehkah mendapat bantuan zakat?


Soalan: Saya seorang pelajar di sebuah IPTA dan mengambil bidang kejuruteraan kimia. Saya ingin memohon bantuan zakat. Jadi apakah syarat-syaratnya dan adakah bidang pengajian saya ini melayakkan saya mendapat bantuan zakat?

Jawapan: Memang ramai pihak yang terkeliru dengan bantuan pendidikan yang disediakan oleh pihak institusi zakat. Ada yang menyatakan, hanya mereka yang belajar dalam bidang keagamaan sahaja, misalnya bidang usuluddin, syariah dan bahasa Arab sahaja yang layak memohon bantuan zakat.

Sebenarnya, tanggapan ini adalah salah. Bantuan zakat boleh diberikan kepada pelajar, sama ada mereka mengambil bidang agama mahu pun bidang ilmu alat yang lain. Misalnya bidang perubatan, kejuruteraan, komputer, arkitek, farmasi, kesusasteraan dan sebagainya lagi. Syaratnya, bidang pengajian itu tidak melibatkan aspek yang haram.

Apakah asasnya? Ini kerana, golongan yang menuntut ilmu itu diklasifikasikan sebagai orang yang sedang berjuang di jalan Allah. Maka, mereka layak dibantu di bawah asnaf fisabilillah.

Memang benar, dahulu ulama fikah hanya membataskan maksud fisabilillah dalam urusan peperangan. Namun, pada hari ini fisabilillah sudah dikembangkan kepada usaha untuk mengukuhkan kekuatan negara umat Islam. Misalnya, kita boleh menaja pelajar untuk mengambil jurusan tertentu yang amat perlu kepada umat Islam agar mereka akhirnya kembali memberikan khidmatnya demi kepentingan ummah (rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, Dr. Abdul Karim Zaidan, hal. 148-149).

Bahkan, mengikut perbincangan ulama, jika seseorang itu mewakafkan dirinya kepada bidang ilmu maka dia layak dibantu dengan dana asnaf fisabilillah, sebab dia tidak sempat untuk mencari rezeki lagi. Atas alasan itu dia dibantu dengaan dana fisabilillah.

Realitinya, Islam memang memerlukan jurutera bagi membina negara, doktor bagi merawat pesakit, ahli farmasi bagi menyediakan ubat-ubatan dan sebagainya lagi. Bahkan dalam peperangan misalnya, Islam memerlukan seorang juruterbang yang tangkas bagi menerbangkan pesawat, seorang ahli strategi yang pintar dan juga memerlukan doktor dan para-medik yang cekap di medan demi memenangi peperangan.

Oleh itu, keperluan memberikan bantuan kepada para pelajar di luar bidang agama tidak dapat dinafikan lagi. Bahkan kepentingannya lebih menjurus kepada maslahah ammah (kepentingan umum).

Walau bagaimanapun, dana zakat tidaklah sebesar dana daripada institusi lain yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaja kos pengajian para pelajar. Memang kutipan zakat agak besar; namun ia perlu mengambil kira keperluan tujuh asnaf yang lain.

Oleh itu, institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya, menyediakan garis panduan tertentu agar ia dapat dimanfaatkan oleh ramai pihak secara saksama dan seoptima mungkin.

Di antara kriteria kelayakan memohon bantuan zakat bagi pendidikan ini ialah, pelajar tersebut masih tidak mendapat tajaan kewangan lain-lain pihak, tidak mempunyai kewangan yang cukup bagi meneruskan pengajian dan bidang pengajiannya tidak bercanggah dengan syarak. Namun, syarat-syarat ini mungkin berbeza di antara LZS dan lain-lain institusi zakat. Ia juga mungkin berubah berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa. Wallahua’lam.

Sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau layari www.e-zakat.com.my

Comments

comments

one comment

  1. ATs

    Terima Kasih, informasi yg menarik, saya rasa ramai lagi yg tidak tahu menegenai perkara ini.

Leave a comment