banner ad

“Banyak rupanya bantuan zakat untuk pendidikan ummah”

June 10, 2011 | 0

Oleh: Penulis LZS

Tiba-tiba tangan ini terasa ingin menulis untuk berkongsi pengalaman menghayati keberkatan ibadah zakat. Hari ini, Alhamdulliah wang zakat disalurkan lagi untuk pembangunan pendidikan ummah. Bantuan disampaikan semasa majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor pada 31 Mei di Shah Alam. Hampir 1,200 orang guru-guru agama ada di sini. Guru-guru yang menyalurkan ilmu dunia dan akhirat kepada anak-anak kita semua.

Hati agak tersentuh apabila Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pendapatan guru-guru ini sebulan sekitar RM1,300 sahaja. “Sikitnya pendapatan mereka walhal mereka memikul tanggungjawab yang amat besar,” hati ini bermonolong sendiri. Namun, Alhamdulilah dengan adanya wang zakat yang disalurkan oleh orang ramai dan diuruskan dengan baik oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS), maka dapatlah dana yang besar dikumpulkan dan disalurkan dengan menyeluruh. Untuk itu, sebanyak RM26 juta wang zakat disalurkan bagi membantu menambah dana pendapatan guru-guru ini.

Selain itu, dengan zakat yang pembaca tunaikan juga, dapat membiayai pembelian buku teks anak-anak kita yang belajar di Sekolah Rendah Agama. Sebanyak RM4,054,421 juta wang zakat disalurkan untuk pembelian buku-buku teks ini.Jika dahulu kita semua terpaksa membeli buku-buku teks untuk anak-anak kita, hari ini Alhamdulillah, kita semua dipermudahkan apabila anak-anak kita menerima skim pinjaman buku teks percuma.

Inilah antara keberkatan wang zakat yang disalurkan kepada institusi. Semakin banyak wang zakat dikutip semakin meluas dapat diagihkan.

Bukan itu sahaja, pengacara majlis terus mengumumkan agihan zakat iaitu sebanyak RM12.5 juta yang disalurkan bagi sumbangan dermasiswa pelajar luar negara (Mesir, Jordan dan Morocco), RM997,807 disalurkan untuk bayaran gaji guru tahfiz di MITS dan RM901,020 disalurkan untuk dermasiswa galakan PSRA/SMA & STAM.

Bantuan turut disalurkan untuk pembinaan dan penambah bangunan sekolah. Sekolah yang menerima bantuan zakat ialah pra sekolah JAIS Kuala Selangor berjumlah RM464,268.48 untuk pembinaan sekolah baru, Sekolah Rendah Agama Batu Arang Gombak yang menerima bantuan sebanyak RM336,633.00 untuk pembinaan tiga bilik darjah tambahan dan Sekolah Rendah Agama Kg. Medan Kuala Langat untuk pembinaan bangunan kantin berjumlah RM331,480.00.

Turut menerima bantuan ialah Sekolah Rendah Agama Kg.Jawa Klang untuk pembinaan surau berjumlah RM296,418.50 serta Sekolah Agama Tok Muda Klang untuk pembinaan bangunan kantin dan PRA Sekolah JAIS Tok Muda Klang untuk pembinaan tandas berjumlah RM236,119.36. Bantuan zakat turut disalurkan bagi dermasiswa pelajar cemerlang berjumlah RM19 ribu.

Besar sungguh jumlah zakat yang disalurkan untuk pendidikan ummah ini. Sebanyak RM46.95 juta keseluruhannya bantuan zakat yang disampaikan hari ini. Nah, inilah antara bukti pengagihan zakat yang ditunaikan. Besar sebenarnya menafaatnya.

Pengacara majlis terus mengumumkan bahawa bantuan yang disampaikan hari ini tidak termasuk sumbangan bantuan bagi baikpulih bangunan Sekolah Agama Menengah, Sekolah Rendah Agama Integrasi, Sekolah Rendah Agama, KAFA, pra sekolah JAIS atau surau-surau sekolah agama Selangor.

Hati penulis terdetik lagi, wah banyak lagi rupanya bantuan zakat untuk pembangunan pendidikan ini.” Doa penulis, mudah-mudahan mereka yang ingin tahu tentang agihan zakat ini mencari maklumat tepat dan tidak mempertikaikan kredibiliti agihan zakat yang dilaksanakan oleh LZS dengan mengatakan tidak tahu ke mana wang zakat diagihkan. Banyak saluran, cuma soalnya adakah kita bersedia untuk mengambil tahu..

Comments

comments