Nizam Asnaf Berbakat


Oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kelelahan penulis menuntasi perjalanan dari Shah Alam terasa buyar apakala menikmati saujana pemandangan sawah padi yang menghijau di Sungai Besar. Padi sedang menguning dan jalanan kampung yang damai menenangkan minda. Akhirnya kami sampai ke sebuah rumah kayu. Binaannya sederhana, tetapi memukau. Dihiasi dengan pelbagai ukiran kayu-kayan, juga landskapnya yang menawan, ia cukup elegan.

Jarang penulis berjumpa asnaf yang seniman. Maksud penulis, yang mempunyai apresiasi seni yang tinggi dan menyerlahkannya dalam karyanya yang asli. Justeru kali ini, penulis ingin berkongsi kisah tentang Nizam Md. Azhar, 42 yang boleh dianggap seniman berbakat, yang melorekkan idea kreatifnya di atas kayu lalu menjadi ukiran yang bermutu.

Setelah beberapa ketika menikmati hidangan mata, yakni sebuah rumah tradisional Melayu berukiran kayu, kami disapa Nizam bersamaisterinya, Arpah Shapawi, 42. Pasangan ini ceria menyambut kedatangan penulis dan rakan-rakan ke kediamannya yang juga menempatkan sebuah bengkel ukiran kayu miliknya. Ditabiri kehijauan kebun kelapa sawit, tengah hari yang terik terasa nyaman dibuai kedinginan alam.

“Maaflah, lambat sampai. Saya mengambil anak dari sekolah.” Beliau membuka bicara. Masih belia orangnya.

Usai memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kami ke mari, beliau pun membuka cerita lama di sebalik ketekunannya menjayakan kerja ukirannya ini.

“Dahulu saya mengukir secara sambilan. Saya pemandu jentera forklift berlesen dan berkerja di Pelabuhan Klang. Hampur 14 tahun saya berkerja, gaji saya tidak pun mencecah RM1,000. Jenuh saya meminta agar majikan naikkan gaji. Mereka bukan melayan; sebaliknya memberikan tekanan. Akhirnya, pada tahun 2010, saya nekad berhenti. Bayangkan, gaji terakhir saya hanya RM700.” Nizam memulakan cerita.

“Jika diikutkan, pendapatan berkerja memang kecil. Dengan tanggungan anak seramai empat orang, masakan mencukupi. Lalu, saya melakukan kerja-kerja mengukir dan memasarkannya secara sambilan. Isteri juga membantu saya, beliau mengambil upah menjahit. Dengan serba kekurangan itulah, kami meneruskan kehidupan.”

Penulis mendengar penuh minat. Sesekali penulis menebarkan pandangan kepada pelbagai hasil ukiran kayu yang telah pun siap dihasilkan dan menunggu masa untuk jualan. Ada gantungan kunci, terendak lampu, kayu beluti, papan ukiran bahkan kayu nesan telah disiapkan. Bahkan ada pelanggan yang menempah lebih awal. Hasil kerja Nizam memang teliti, tidak rugi rasanya membeli.

“Namun tidak dinafikan, memulakan perniagaan dengan modal terhad amat mencengkam. Saya membeli mesin pun secara runcit. Kira-kira setahun selepas berhenti kerja, memang terasa juga peritnya. Namun, saya gembira kerana lebih fokus menghasilkan kerja.” Tambah Nizam.

Ditanya bagaimana perkenalan mereka dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS), isterinya pula menyambung bicara.

“Jika diikutkan, kami agak segan memohon bantuan. Namun, memikirkan anak-anak, khususnya anak kedua kami yang hiper aktif dan memerlukan kelas tambahan di sekolah, maka saya gagahkan juga. Ini kerana, pihak sekolah dengan kerjasama LZS memang ada menyediakan kelas tambahan.

“Tidak saya sangka, pihak LZS lebih prihatin tentang keperluan kami. Pegawai zakat telah datang berkunjung ke rumah, membanci dan menilai kemampuan kami. Ternyata kami memang layak. Maka, sejak tahun 2010 kami diberikan bantuan, iaitu persiapan menyambut raya dan pendidikan anak-anak. Bahkan, melihat kepada kesungguhan dan kreativiti suami saya, pihak LZS  juga menawarkan modal perniagaan.” Terang Arpah penuh semangat.

“Alhamdulillah, kehidupan kami berubah sejak disantuni oleh LZS. Jika dahulu kami hidup dalam agak kesempitan, kini terasa lebih lapang.” Ujar Nizam pula.

Kini, Nizam dalam proses memantapkan perusahaan ukiran kayunya. LZS tampil memberikan modal tambahan bernilai lebih RM12,000.00, iaitu bagi tujuan pembinaan bengkel kayu dan juga modal pusingan.

“Saya mempunyai wawasan untuk lebih maju ke depan dalam bidang ukiran. Bahkan, saya berazam mahu mengambil asnaf zakat yang tiada pekerjaan untuk berkerja dengan saya. Bahkan, jika boleh saya mahu menjadi tempat melatih pelajar dalam bidang ukiran kayu.

“Ini kerana, kerja seni mengukir ini jarang sangat diceburi ramai orang. Bahkan, jika dibandingkan dengan negara luar, hasil ukiran orang Malaysia memang halus dan kemas. Saya juga melandaskan usaha saya ini atas minat. Dengan minat yang tinggi, kerja sukar pun menjadi mudah sekali.

“Bahkan demi mendapat idea, saya sering membaca bahan yang sesuai dan berjalan-jalan melihat binaan. Alhamdulillah, hasil kerja saya diminati ramai dan saya diminta menata hias laman dan juga hiasan dalaman kediaman. Sekarang ini pun saya sedang menyiapkan kerja di sebuah rumah.” Jelasnya lagi yang juga merupakan lulusan Sekolah Vokasional Setapak dalam bidang kimpalan besi pada tahun 1986.

Penulis merasa kagum dengan kesungguhan Nizam. Sebelum pamit, penulis sempat berpesan agar beliau meneruskan usaha dengan gigih dan jangan lupa memasang nizat untuk berzakat dan bersedekah. Mudah-mudahan, pekerjaannya akan diberkati Allah dan dipermudahkan segala yang payah. Amin.

Nota: Bengkel ukiran kayu Nizam turut menyediakan perkhidmatan membina dan menyiapkan perabot kayu seperti pagar, pintu gerbang, kerusi laman, buaian dan sebagainya. Beliau boleh dihubungi di Bengkel Ukiran Wong Jowo, Simpang Empat, Kg. Sg. Limau, 45300 Sg. Besar, Selangor. Beliau juga boleh dihubungi di talian 019-282 5038.

Comments

comments

Leave a comment