banner ad

Siri 1: HIKMAH ZAKAT FITRAH

Siri 1: HIKMAH ZAKAT FITRAH

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Pegawai Dakwah Pena,
Lembaga Zakat Selangor,
Majlis Agama Islam Selangor

Mukaddimah

Ibnu Umar meriwayatkan: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum.” (Hadis Riwayat Imam Muslim, no. 935, Jilid 2, halaman 169)

Ramadan datang lagi. Bagi orang yang beriman, mereka menyambut datangnya bulan ini dengan ucapan ‘marhaban ya Ramadan, marhaban ya shahrul barakah.’ Ini kerana, pada bulan inilah terkumpulnya segala kebaikan yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Syaratnya, setiap individu muslim hendaklah berikhtiar menggali hikmah dan fadhilatnya. Ibarat menggali permata berharga. Usahanya sedikit susah; namun berbaloi melepas lelah.

Apabila di sebut Ramadan, maka ia amat sinonim dengan zakat fitrah. Di dalam Islam, di samping zakat harta maka semua umat Islam yang layak diwajibkan zakat fitrah. Sungguh pun sama dari aspek nama dan amalan; namun kedua-dua amalan fardu ini mempunyai perbezaan. Ia berbeza lantaran mempunyai konotasi yang mendasari hikmah di sebalik perlaksanaannya.

Perbezaan Zakat Fitrah dan Harta

Zakat fitrah dikenakan kepada semua umat Islam, sama ada merdeka mahu pun hamba sahaya. Ini berbeza dengan zakat harta, kerana tidak dikenakan kepada hamba. Mana mungkin seorang hamba mampu berzakat, andai dirinya sendiri pun dimiliki oleh orang lain. Bahkan, demi mengangkat taraf seorang hamba maka Islam memberikan hak zakat untuk mereka menebus diri.

Zakat fitrah juga mempunyai nisab yang berbeza dengan zakat harta. Untuk menunaikan zakat fitrah, Islam menetapkan bahawa seseorang itu mempunyai makanan yang cukup baginya pada malam hari raya sehingga ke siang hari raya. Jika seseorang itu mempunyai makanan yang cukup bagi tempoh itu, maka wajiblah zakat fitrah ke atasnya. Manakala, nisab zakat harta pula mesti disandarkan kepada nilai emas semasa. Apabila harga emas tinggi, maka tinggilah nisabnya.

Kadar zakat fitrah pula ialah sekadar segantang Baghdad yang dikenakan berdasarkan makanan asasi. Jika di Malaysia, beraslah zakat fitrahnya. Segantang Baghdad itu pula menyamai 2.7 kg. Maka, darablah harga beras semasa dengan 2.7 kg bagi mendapatkan kadar zakat fitrah. Manakala, kadar zakat harta pula ialah 2.5 peratus dari keseluruhan harta. Manakala, jika zakat pertanian pula kadarnya sama ada 5.0 peratus atau 10.0 peratus.

Zakat harta agihannya kepada lapan asnaf. Manakala, agihan zakat fitrah selalunya difokuskan kepada fakir dan miskin. Inilah pandangan sebahagian ulama. Misalnya dinyatakan oleh Ibnu Qayyim, Ibnu Rusyd, Sayid Sabiq dan Karim Zaidan (rujuk Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190). Ini menunjukkan, zakat fitrah berbeza dengan zakat harta.

Zakat harta pula ditunaikan sepanjang tahun, tanpa ada batas masa tertentu. Manakala, zakat fitrah hanya ditunaikan pada bulan Ramadan dan waktunya tamat pada hari raya pertama. Apabila terbenam matahari satu syawal, maka zakat fitrah yang ditunaikan sudah menjadi qada.

Hikmah Zakat Fitrah

Menjelang Aidilfitri, bermakna umat Islam menuju kegembiraan. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, iaitu orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Kegembiraan pertama sewaktu berbuka (berbuka puasa dan berhari raya) dan keduanya ketika menatap wajah Allah SWT di dalam syurga (mafhum daripada hadis riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad).

Di dalam memastikan umat Islam khususnya golongan fakir dan miskin turut merasai nikmat hari raya inilah, maka zakat fitrah diwajibkan. Ia bertujuan memberikan mereka makanan yang cukup. Bahkan dalam konteks hari ini, fakir miskin bukan sahaja diberikan makanan bahkan wang ringgit. Maka, dapatlah mereka membeli keperluan hari raya dengan wang ringgit tersebut.

Di samping itu, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri. Akan tersingkaplah tirai kesombongan dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Kesimpulan

Islam adalah agama fitrah. Asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling membahu. Berulang kali Allah SWT dan Rasulullah SAW menyarankan, agar umat Islam bersifat bahu-membahu di antara satu sama lain. Bahkan Allah SWT menegaskan, semua umat Islam itu adalah bersaudara (Al-Hujurat: 10). Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah kita sebagai seorang muslim. Muslim yang menyantuni sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama.
 
Wallahua’lam