banner ad

Siri 2: Fakir, Miskin dan Had al-Kifayah

Siri 2: Fakir, Miskin dan Had al-Kifayah

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Pegawai Dakwah Zakat Pena
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

 

Mukaddimah

Kemiskinan adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar. 

Had al-Kifayah pula adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperolehi pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).

Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 memberikan definisi Had al-Kifayah sebagai: ‘Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.’ Sejajar dengan itu, maka institusi zakat wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat lebih terfokus diuruskan.

Takrifan kemiskinan

Umumnya orang menyangka, fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang layak mendapat zakat disamping enam asnaf lain. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para muallaf untuk dilunakkan hatinya…” (at-Taubah 9: 60)

Namun begitu, wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.

Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya. Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Hanafi dan Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.

Sementara itu, Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor tahun 2002, yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor telah mempersetujui bahawa takrifan fakir dan miskin itu ialah:

1. Fakir ialah orang Islam yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan atau ada pekerjaan tetapi tidak halal  atau ada pendapatan tetapi tidak  mencapai 50 peratus daripada had kifayah, untuk keperluan diri atau keperluan diri tanggungannya

2. Miskin ialah orang Islam yang  mempunyai harta atau pendapatan halal yang hanya boleh menampung 50% untuk keperluan diri atau keperluan diri dan tanggungan tetapi  tidak mencapai  had kifayah

Sementara itu, jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Contohnya keluarga Ammar bin Yasser r.a. Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid nabi, dan golongan ini adalah golongan fakir. Di antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah r.a. Beliau sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar. Akhir Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.

Dalam konteks hari ini, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin  yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.

Enam keperluan asasi

Di samping itu, wajar kita fahami bahawa sesebuah institusi zakat mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah, tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan. Perkara-perkara yang dinyatakan ini adalah suatu keperluan asasi kepada setiap manusia. Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan, tidak mampu memenuhi kecukupan minima bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.

Daripada data fakir dan miskin yang dikumpulkan itulah, maka institusi zakat mampu merangka strategi seterusnya bagi menangani kemiskinan. Fakir dan miskin memerlukan kaedah dan strategi yang berbeza. Di sinilah relevannya institusi zakat memperkasakan jentera agihan zakat, misalnya dengan mewujudkan Jabatan Pembangunan Asnaf, Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat, Pusat Pendidikan dan Latihan Asnaf Zakat dan sebagainya. Ini kerana, dengan menyediakan pelbagai prasarana pembangunan zakat, maka ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan asnaf itu sendiri.

Wajar juga bagi kita untuk mengingati, di antara tujuh pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar r.a, ialah: “Sukailah orang-orang miskin dan dekatilah mereka,” merupakan anjuran agar kita mencari jalan membela nasib fakir dan miskin dan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Inilah natijahnya zakat di sisi fakir dan miskin di dalam Islam. Wallahua’lam.