banner ad

Zakat Pendapatan

1. Mutakhir ini kita didedahkan dengan zakat pendapatan. Soalnya, apakah dalil yang mewajibkan zakat pendapatan ini?

Zakat ke atas pendapatan adalah wajib dikeluarkan sebagaimana yang telah di fatwakan oleh kebanyakan ulama muta’akhirin termasuk Prof. Dr. Yusof Qardhawi dan Dr. Hussein Shahatah, demikian juga oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan zakat pendapatan ini, antaranya firman Allah:”Wahai orang-orang yang beriman keluarkanlah sebahagian dari usaha kamu yang baik-baik dan sebahgian daripada apa yang telah Kami keluarkan dari bumi untuk kamu” (Al-Baqarah: 267)

Manakala sabda Rasulullah (SAW) yang bermaksud: ”Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (zakat) 5 dirham, dan tidak taqwa ke atas kamu sesuatu iaitu di dalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar.” (Riwayat Abu Daud

Di samping itu, berdasarkan catatan sejarah, pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz (meninggal 72M) baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya.

Ulama mutakhir juga menyatakan, secara perbandingannya zakat pendapatan ini adalah seperti zakat pertanian (kerana hasil pertanian itulah pendapatan para petani). Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan mereka yang memperolehi gaji pada setiap bulan. Logik akal menyatakan, maka sudah pastilah zakat juga turut wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

2. Timbul sedikit kekeliruan dalam pengiraan zakat pendapatan. Bolehkan diperjelaskan kaedah sebenar pengiraan zakat pendapatan ini?

Menurut Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Selangor, terdapat tiga kaedah pengiraan zakat pendapatan:

a) Tanpa tolakan
b) Tolakan asas yang dibenarkan
c) Tolakan sebenar yang dibenarkan

Bagi mengetahui kaedah pengiraan berdasarkan tiga kaedah di atas, anda boleh merujuk laman web http://www.e-zakat.com.my/ atau rujuk artikel berkaitan di dalam Majalah Anis bulan April 2009.

3. Maksud pendapatan adalah luas. Bolehkah diperincikan apakah jenis-jenis pendapatan yang wajib dizakatkan?

Zakat pendapatan juga diistilahkan sebagai zakat al-mal al-mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional yang lain.

Zakat pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan atau bayaran yang diperolehi sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberi. Ia dikenali sebagai upah, gaji, bonus, dividen, hasil sewaan, royalty, hibah, elaun, honorarium, pampas an, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk pendapatan yang berasaskan kerjaya atau sebagai ahli professional.

Oleh itu, zakat pendapatan tidak hanya tertakluk kepada gaji tetap sahaja bahkan segala jenis pendapatan lain juga wajib dikira sebagai tunduk kepada zakat pendapatan.

4. Adakah seorang isteri yang berkerja wajib menunaikan zakatnya? Atau cukup sekadar suaminya sahaja yang menunaikan zakat?

Zakat adalah tertakluk kepada individu. Suami yang berkerja maka zakat wajib ke atasnya, maka isteri yang berkerja juga wajib zakat ke atasnya. Begitu juga, wang simpanan isteri milik isteri dan wajib dizakatkan, wang simpanan suami milik suami maka wajib dizakatkan. Ia adalah harta individu. Maka, suami dan isteri hendaklah mengira sendiri, sama ada pendapatan tahunan mereka wajib dizakatkan atau tidak. Sekiranya wajib, maka masing-masing wajib mengeluarkan zakat. Ia berbeza dengan zakat fitrah pada bulan Ramadan, kerana ia dikeluarkan oleh ketua keluarga untuk semua tanggungannya.

5. Adakah guru, polis, tentera dan kakitan awam yang sudah pencen daripada alam pekerjaan namun mendapat pencen bulanan tetap masih dikenakan zakat? Begitu juga wang yang diterima kerana penamatan kerja, seperti pampasan kerana VHSS (pemberhentian kerja sukarela) atau apa-apa insentif persaraan wajib dizakatkan?

Secara mudahnya, setiap wang yang bersumberkan pendapatan maka hendaklah dizakatkan. Ini termasuklah wang saguhati persaraan atau pampasan persaraan, kerana ia adalah wang yang diperolehi hasil daripada pekerjaan sebelumnya. Begitu juga wang pencen juga wajib dizakatkan, kerana ia bersifat pendapatan bulanan secara tetap. Dari sudut fekah, semua harta ini diistilahkan sebagai al mal al mustafad, yakni harta yang diperolehi daripada pekerjaan (seperti gaji, upah, elaun dan sebagainya) dan wajib dizakatkan apabila mencukupi segala syaratnya, kerana ia berpotensi untuk dikembangkan lagi.

6. Saya telah memenangi sebuah peraduan dan mendapat hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000.00. Adakah ia dikira sebagai pendapatan dan saya wajib menzakatkannya? Bagaimana pula jika saya memenangi kereta atau rumah?

Wang hadiah juga dikira pendapatan kerana ia didapati melaui sesuatu usaha, yakni pertandingan. Jadi, saudara perlu mengeluarkan zakat ke atasnya semasa ia didapatkan. Tidak perlulah ditunggu setahun, kerana zakat pendapatan lebih afdhal dikeluarkan semasa ia diperolehi dan ia lebih menepati roh zakat pendapatan.

Setelah dikeluarkan semasa diperolehi, maka tiadalah lagi zakat ke atasnya pada tahun yang berkenaan (tahun semasa). Namun, bermula sahaja tahun baru (haul baru) dan saudara masih menyimpan bakinya, maka ia dikenakan pula zakat wang simpanan jika berada pada paras nisab dan jika ia masih disimpan selama setahun.

Manakala hadiah dalam bentuk lain seperti rumah dan kereta tidak perlulah dizakatkan, kecualilah kereta atau rumah itu dijual dan diperolehi wang atau ia dijadikan rumah atau kereta sewa yang menjana pendapatan ke atas saudara. Wallahua’lam.

7. Saya adalah seorang ibu tunggal dua anak. Saya turut menampung perbelanjaan ibu bapa dan dua orang adik yang masih belajar. Apakah saya boleh memasukkan mereka ke dalam perbelanjaan dan mendapat tolakan dalam kiraan zakat pendapatan saya?

Ya, puan boleh menolak perbelanjaan yang diberikan kepada kedua ibu bapa dan kedua orang adik puan kerana puan adalah orang yang bertanggungjawa menyara mereka. Oleh itu, peruntukan bulanan yang puan berikan kepada mereka boleh dikira sebagai tanggungan sebelum kiraan zakat pendapatan puan.

Caranya, jika puan memberikan elaun sebanyak RM200 sebulan kepada ibu ayah dan RM200 elaun kepada adik-adik puan, maka RM400 x 12 bulan ialah RM4,800 boleh ditolak dalam kiraan zakat pendapatan. Manakala potongan untuk anak-anak pula ialah tetap RM1,000 bagi setiap orang. Selepas itu, bakinya baharulah dikirakan zakat.

8. Saya dimaklumkan bahawa ada tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Apakah kaedah tersebut dan yang manakah paling afdal?

Asalnya terdapat tiga kaedah mengira zakat pendapatan. Pertama, dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan saudara terus dikeluarkan 2.5 peratus sebagai zakat. Kaedah ini dirasakan agak membebankan, jsuteru ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang.

Kaedah kedua pula, boleh buat dahulu tolakan asas yang sudah ditetapkan selari dengan kaedah Had al-Kifayah, iaitu diri sendiri RM10,500; isteri RM8,500; anak-anak pula mengikut umur mereka dan termasuklah pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP; caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan caruman ke dalam mana-mana institusi yang mengeluarkan zakat kepada pencarum seperti takaful. Setelah itu baharu dikeluarkan zakat 2.5 peratus (rujuk http://www.e-zakat.com.my/kalkulator-zakat/zakat-pendapatan)

Pun begitu hendaklah diingat, Had al-Kifayah ini diukur dari semasa ke semasa, maka boleh jadi ia berubah mengikut keperluannya. Hendaklah selalu merujuk kepada pihak LZS untuk mendapatkan Had al-Kifayah yang sebenar bagi tahun yang berkenaan.

Kaedah ketiga ialah mengira jumlah sebenar perbelanjaan asasi, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan. Kaedah ini tidak digalakkan, justeru seseorang itu boleh jadi terlepas daripada menunaikan zakat pendapatan; walhal pada masa yang sama dia mampu menjalani hidup yang mewah, misalnya memiliki kereta besar dengan rumah yang besar.

Kaedah kedua adalah paling baik, ia tidak terlalu ringan dan tidak terlalu membebankan sehingga menyebabkan seseorang itu terlepas dari menunaikan zakat pendapatan. Kaedah kedua inilah yang diamalkan di negara ini.

9. Saya melaksanakan zakat menerusi Skim Potongan gaji. Sekiranya saya sengaja melebihkan amaun bayaran zakat melalui potongan gaji, adakah ia dikirakan zakat juga? Bolehkah saya meniatkannya sebagai qada zakat? Bagaimana pula dengan akad zakat?

Zakat sudah tertentu jumlahnya. Jika ditaksirkan zakat saudara ialah RM100 sebulan, kemudian saudara sengaja menunaikan RM150, maka lebihan itu bukanlah zakat melainkan dikira sebagai sedekah.

Walau bagaimanapun, ia boleh diniatkan sebagai zakat harta yang lain. Misalnya zakat emas, zakat simpanan atau apa sahaja zakat termasuklah qada zakat yang lalu. Memadai dengan niat saudara semasa mengisi borang potongan zakat maka akad tidak diperlukan lagi.

Ini kerana, rukun dan syarat sah zakat ialah niat dan memberikan harta, yakni berlaku pemindahan hak milik ke atas harta zakat. Manakala lafaz zakat atau akad hanyalah sunat semata-mata.

10. Apakah yang dimaksudkan sebagai al-mal al-mustafad? Di samping itu, saya masih keliru kenapakah wang saguhati persaraan seperti graduiti diwajibkan zakat?

Al-mal al-mustafad bermaksud, segala jenis pendapatan yang diperolehi hasil daripada pekerjaan, seperti upah, ganjaran, pemberian dan lain-lain pendapatan yang ada kaitan dengan pekerjaan. Maka, al-mal al-mustafad adalah harta yang wajib dizakatkan.

Manakala, wang graduiti atau pampasan adalah termasuk ke dalam wang yang diperolehi daripada hasil pekerjaan atau pendapatan. Maka, ia masih dikategorikan sebagai harta al mal al mustafad (hasil daripada pekerjaan). Alasannya, seandainya kita tidak berkerja sebelum ini, maka pastinya kita tidak akan memperolehi wang graduiti berkenaan. Maka ia hendaklah dizakatkan apabila mencukupi syarat-syaratnya.

Perkara ini ada dibincangkan oleh Dr Mujaini Tarimin di dalam kertas kerjanya bertajuk: ‘Zakat Al-Mal Al-Mustafad dan Isu-isu Kontemporari’ (kini dibukukan oleh Utusan Publications di bawah tajuk Zakat: Menuju Pengurusan Profesional). Dan beliau memasukkan wang graduiti tersebut sebagai salah satu item di dalam perbahasan pendapatan yang dikategorikan harta al-mal al-mustafad (yang tunduk kepada zakat). Kesimpulannya, wang graduity adalah tunduk kepada zakat dan hendaklah dizakatkan. Wallahua’lam.

11. Saya telah ditegur oleh seorang kawan kerana membayar zakat melalui potongan gaji setiap bulan. Kata kawan saya, haul zakat saya ialah di hujung tahun. Saya keliru dan adakah sah zakat saya sebelum ini?

Sebenarnya, perbicaraan mengenai haul zakat penggajian agak panjang. Walau bagaimanapun, ulama sendiri mempunyai dua pendapat. Ada menyatakan, ia boleh dizakatkan tanpa menunggu setahun dan ada yang menyatakan hendaklah ditunggu setahun.

Hukumnya adalah sah zakat tersebut bahkan lebih awla jika saudara bimbang seandainya apabila cukup setahun, maka saudara sudah menghabiskan semua wang tersebut.

Kesimpulan yang dapat diberikan, adalah sah dan harus mengeluarkan zakat lebih awal dari waktunya. Inilah pendapat yang kuat bagi kalangan Syafie, Hanafi dan Hambali.

12. Saya telah menunaikan zakat melalui skim potongan gaji pada setiap bulan. Setelah berlalu setahun, saya dapati wang dalam simpanan saya melebihi nisab. Adakah saya perlu menunaikan zakat simpanan pula?

Zakat hanya dikenakan sekali pada harta yang sama pada tahun yang sama (masih dalam haul yang sama). Oleh itu, memandangkan wang yang disimpan itu telah pun dizakatkan terlebih dahulu melalui zakat pendapatan, maka tidak perlulah lagi puan mengeluarkan zakat simpanan pada tahun berkenaan.

Walau bagaimanapun, apabila berubah tahun (haul) yakni masuk tahun hadapan dan genap setahun, maka wang simpanan itu mestilah dikenakan zakat semula, iaitu zakat simpanan apabila jumlahnya selama setahun itu mencukupi paras nisab.

13. Saya masih terkeliru soal harta zakat. Apakah rumah dan tanah dusun serta sawah juga harta yang wajib dizakatkan?

Harta zakat yang saudara maksudkan di atas, iaitu rumah, tanah dusun serta sawah asalnya tidaklah wajib dizakatkan. Ini kerana, ia tidak termasuk dalam kategori harta yang wajib zakat, seperti harta perniagaan, galian, penternakan, pertanian, perhiasan dan wang simpanan.

Mengikut istilah fikah, harta yang induknya tidak wajib dizakat tetapi hasil daripadanya wajib dizakatkan, maka ia dinamakan harta al-mustaghallat. Misalnya, tanah kebun yang diberikan pajakan kepada pihak lain sehingga mendatangkan hasil yang melebihi nisab, maka ia wajib dizakatkan. Kadar zakat bagi harta saudara ini ialah 2.5 peratus, sama seperti zakat harta yang lain.

14. Saya berminat mengetahui rebat cukai individu yang menunaikan zakat? Bolehkah diperjelaskan kesannya kepada PCB saya?

Hakikatnya, rebat kepada cukai pendapatan adalah suatu kelebihan yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada umat Islam. Maknanya, zakat termasuklah zakat fitrah layak dijadikan rebat kepada cukai pendapatan.

Menurut Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A (3), setiap individu yang menunaikan zakat berhak mendapat rebat ke atas jumlah cukai yang perlu dibayar pada tahun berkenaan. Implikasinya, sama ada ia akan mengurangkan jumlah cukai pendapatan individu ataupun ia akan terus mendapat pelepasan daripada membayar cukai pendapatan.

Oleh itu, setiap pembayaran zakat wajib disimpan resitnya bagi tujuan pembuktikan kepada pihak LHDN apabila diminta. Di samping itu, menunaikan zakat menerusi Skim Pemotongan Gaji juga akan melayakkan pelarasan cukai bulanan bagi mereka yang dikenakan Potongan Cukai Berjadual.