Qada Zakat

1. Saya baru mendapat kesedaran untuk menunaikan zakat pendapatan yang tidak pernah saya tunaikan pada tahun-tahun sebelum ini. Jadi, apakah hukum menunaikan zakat yang lepas-lepas dan apakah yang patut saya lakukan?

Apabila pintu hati baru terbuka, itu maknanya hidayah Allah SWT sudah mengunjungi diri saudara. Bersyukurlah. Sesungguhnya, hukum menunaikan zakat yang telah lepas waktunya itu, sedangkan semua syarat wajib zakat sudah cukup pada diri kita, maka hukumnya adalah wajib. Ia dinamakan Qada’ Zakat. Keputusan fatwa Negeri Selangor misalnya, menyatakan hukum qada’ zakat adalah wajib. Saudara boleh mengunjungi mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan bantuan untuk mengira zakat-zakat yang telah lepas dan seterusnya menunaikan zakat saudara itu.

2. Baru-baru ini saya mendapat keinsafan untuk berzakat. Saya baru sedar, sejak tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan 10 tahun dahulu, saya tidak pernah menunaikan zakat pendapatan. Satu-satunya zakat yang saya tunaikan adalah zakat fitrah. Maka, apakah saya wajib mengqadakan zakat tersebut dan adakah ia dikenakan fidyah seperti puasa?

Hukum mengqadakan amalan puasa, solat dan zakat adalah wajib. Ini sabit daripada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a dan diputuskan juga wajib oleh jawatankuasa fatwa (rujuk pewartawaan fatwa qada zakat oleh Negeri Selangor). Oleh itu, saudara hendaklah mengira berapakah pendapatan pada setiap tahun yang telah lalu dan darabkanlah dengan 2.5 peratus. Itulah zakat pendapatan saudara. Saudara juga mungkin boleh meneliti lain-lain zakat, seperti zakat simpanan dan zakat saham yang mungkin saudara terlepas pandang untuk menunaikannya. Walau bagaimanapun, zakat tidak dikenakan fidyah seperti mana puasa. Sila bertanya secara lanjut di pejabat zakat untuk maklumat yang lebih jelas, bagaimanakah caranya melaksanakan qada zakat saudara. Wallahua’lam.

3. Amalan manakah yang lebih afdal bagi saya, sama ada mendahulukan qada zakat atau memberikan derma dan bersedekah?

Islam sebenarnya menganjurkan kita agar mengutamakan amalan wajib. Ini kerana, setiap perkara wajib membawa konotasi dosa dan pahala. Zakat mendapat pahala bila ditunaikan dan berdosa apabila ditinggalkan. Sedangkan, amalan sunat membawa konotasi mendapat pahala apabila diamalkan dan tidak berdosa jika ditinggalkan.

Allah SWT menerusi firman-Nya menyatakan: “Dan bersegeralah kamu ke arah keampunan daripada Tuhan dan syurga yang luasnya adalah langit dan bumi yang telah disedikan untuk orang yang bertaqwa.” (Ali `Imran: 133)

Ulama menyatakan, mafhum daripada ayat di atas ialah umat Islam perlu menyegerakan qada amalan yang wajib agar mendapat ampunan Allah SWT. Apatah lagi, kita sendiri tidak mengetahui bilakah masanya ajal akan tiba. Maka tabiat menangguhkan qada amalan zakat yang wajib, boleh menyebabkan seseorang itu mati dalam keadaan dia masih berhutang dengan Allah SWT.

Oleh itu, kesimpulannya sudah pastilah menunaikan amalan fardu yang wajib statusnya itu jauh lebih afdal berbanding amalan sunat. Wallahua’lam.

4. Apakah yang wajar dilakukan oleh anak-anak apabila mengetahui bapanya yang baru meninggal dunia namun tidak pernah mengeluarkan zakat harta walaupun sekali sepanjang hayatnya?

Alhamdulillah, mujurlah si mati mempunyai anak-anak yang ada kesedaran untuk berzakat. Ini kerana, orang yang sengaja enggan menunaikan zakat sepanjang hayatnya sedangkan dia sudah mencukupi segala syaratnya, maka dia dianggap berhutang dengan Allah SWT bahkan berdosa besar, wal ‘iyazubillah.

Untuk itu, anak-anak atau waris si mati wajib mengqadakan zakat harta tersebut. Bahkan menurut kitab Mastika Hadith Jilid 3: “Orang mati yang masih belum membayar zakat, maka zakat itu wajib dikeluarkan daripada hartanya sebelum membayar hutangnya sesama manusia dan sebelum melaksanakan wasiatnya dan bahagian waris-warisnya.”

Hal ini sejajar dengan apa yang diterangkan oleh sebuah hadis Nabi Muhammad SAW: Dari Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “(Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, silalah berkunjung ke mana-mana kaunter zakat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai qada zakat ini. Wallahua’lam.

_________