Zakat Fitrah

1. Ada pihak menyatakan zakat fitrah adalah khusus dikeluarkan kepada asnaf fakir dan miskin sahaja, benarkah pendapat ini?

Memang ada ulama’ yang berpendapat bahawa zakat fitrah ini khusus bagi fakir dan miskin. Mereka menyandarkan pendapat tersebut kepada sebuah hadis Nabi SAW: “Penuhilah keperluan mereka (fakir dan miskin) pada hari (Aidilfitri) itu (agar mereka tidak meminta-minta).” (Hadis riwayat Baihaqi dan Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Walau bagaimanapun, sebahagian ulama’ juga menyatakan zakat fitrah sama hukumnya dengan zakat harta. Mereka menyandarkan hujah kepada ayat Al-Quran di dalam surah At-Taubah, ayat 60 mengenai siapa yang berhak terhadap zakat termasuklah zakat fitrah.

Malahan ada ulama’ yang menyatakan seorang kafir zimmi juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.

2. Saya memiliki pembantu rumah Indonesia, adakah saya wajib menjelaskan zakat fitrah bagi pihak dirinya?

Majikan tidak wajib menjelaskan zakat fitrah bagi pihak pembantu rumahnya. Walau bagaimanapun, majikan diharuskan membayar bagi pihak pembantu itu, dengan syarat dia terlebih dahulu memaklumkan kepadanya. Ini adalah perbuatan yang terpuji, sebagaimana sebuah hadis Nabi SAW: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi).

Walau bagaimanapun, jika pembantu rumah itu mahu mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya, itu adalah lebih baik. Ini kerana, pembantu tersebut memiliki kemampuannya sendiri untuk menunaikan zakat fitrah daripada pendapatannya sendiri.

3. Isteri saya melahirkan anak tepat pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan. Adakah saya wajib membayar zakat fitrah kepada bayi kami itu? Bagaimana pula orang yang hidup sepanjang Ramadan; tetapi meninggal sejurus sebelum masuk Syawal?

Syarat bagi seseorang Islam itu untuk mengeluarkan zakat fitrah ialah, dia mestilah hidup pada Ramadan sehingga masuk Syawal. Oleh kerana anak tersebut lahir setelah habis Ramadan, maka tidak wajib zakat fitrah kepadanya. Ini kerana, Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu), inilah pendapat yang kuat (rujuk Hukum Zakat, Yusuf Qardawi, halaman 930).

Sementara itu, jika berlaku kematian pada hari terakhir Ramadan, katakanlah sejurus sebelum masuk waktu Maghrib, maka orang itu hanya hidup pada Ramadan dan tidak pada Syawal. Maka tidak wajib zakat fitrah ke atas dirinya (rujuk Fiqh Manhaji As-Syafie, halaman 354).

4. Sekiranya seorang muallaf (saudara baru) yang sudah baligh tidak mempunyai kemampuan, maka siapakah yang wajib membayarkan zakat fitrah ke atas dirinya?

Syarat mengeluarkan zakat fitrah kepada seseorang muslim ialah berkemampuan, yakni cukup untuk makan pada malam hari raya dan juga pada siangnya. Dalam kes ini, muallaf tersebut tidak mampu. Maka tidak berdosa jika dia tidak menunaikan zakat fitrah tersebut. Wallahua’lam.

5. Saya terlambat membayar zakat fitrah pada Ramadan tahun lalu. Apakah caranya supaya saya tidak terlepas lagi dan bolehkah zakat fitrah diqadakan?

Zakat fitrah adalah wajib dan setiap yang wajib, hendaklah diberikan keutamaan menunaikannya. Menurut Imam As-Syafie, waktu menunaikan zakat fitrah sebenarnya terbahagi kepada tiga fasa. Fasa pertama ialah harus, iaitu bermula dari hari pertama Ramadan. Fasa kedua pula ialah waktu sunat (paling utama), iaitu pada subuh hari raya pertama sehinggalah sebelum solat sunat Aidilfitri. Fasa ketiga ialah waktu makruh, iaitu selepas solat sunat Aidilfitri sehinggalah akhir hari raya pertama.

Bagi mereka yang terlupa atau sengaja melewatkan zakat fitrah sehingga terbenamnya matahari, yakni masuk hari kedua syawal, maka ia akan dikira berdosa dan wajib mengqadakannya. Ia bermaksud, seseorang itu masih wajib mengeluarkan juga zakat fitrah itu walau setelah luput hari pertama syawal dan zakatnya itu pada masa tersebut dikira qada. Oleh itu, eloklah disegerakan menunaikan zakat fitrah tanpa perlu menunggu sebelum solat hari raya. Ini bagi mengelakkan terjatuh ke dalam waktu haram dan berdosa kerana terlewat menunaikannya. Wallahua’lam.