Agihan Zakat

1. Saya mahu berzakat secara terus kepada penerima. Adakah boleh saya melakukannya dan bagaimanakah amalan pada zaman nabi sendiri?

Zakat hendaklah ditunaikan kepada amil yang dilantik oleh pemerintah. Ini sesuai dengan kehendak Islam, kerana jawatan amil memang jelas dinyatakan di dalam Al-Quran dan disebutkan di dalam al-hadis. Orang yang berzakat terus kepada penerima biasanya akan melakukan beberapa kesilapan secara tidak sedar. Iaitu, adakah wang zakat itu sampai kepada asnaf sebenar, kerana di dalam zakatnya ada lapan asnaf yang berhak. Adakah sempurna zakatnya jika hanya diberikan kepada satu asnaf sahaja? Di samping itu, zakat hendaklah bersifat memenuhi keperluan asnaf. Maka, jika seseorang mahu berzakat RM800 setahun, kemudian dipecahkan kepada lapan asnaf, maka setiap asnaf hanya mendapat RM100. Adakah RM100 itu mampu memberikan manfaat besar kepada asnaf? Sebab itulah wang zakat perlu dikumpulkan dalam satu dana. Apabila ia menjadi besar, maka mudahlah ia diagihkan secara sistematik. Maka asnaf akan menerimanya dalam bentuk yang lebih berkesan. Inilah amalan pada zaman nabi dan sahabat. Mereka mengeluarkan zakat kepada amil-amil yang dilantik, seperti mana nabi sendiri melantik dan menghantar Muadz bin Jabal ke Yaman sebagai amil. Wallahua’lam.

2. Bolehkah saya memberikan zakat saya kepada ibu bapa, memandangkan mereka agak kesempitan? Adik saya juga sedang belajar dan memerlukan biaya, maka bolehkah saya memberikan zakat kepadanya?

Zakat adalah tertentu asnafnya. Di samping itu, hendaklah juga dimaklumi bahawa orang-orang yang sememangnya sudah tertakluk di bawah tanggungan yang wajib, maka tidak boleh diberikan zakat kepada mereka.

Apa yang dimaksudkan tanggungan wajib ini ialah, di sisi syariat mereka memang berhak mendapat tanggungan. Ia termasuklah ibu bapa, isteri dan anak-anak. Maka tidak sah zakat diberikan kepada mereka.

Apa yang boleh dilakukan ialah, seorang suami atau anak hendaklah terlebih dahulu memperuntukkan wang bagi perbelanjaan semua tanggungannya termasuklah ibu bapanya yang memerlukan. Sekiranya wang itu ada lebihan, maka itulah harta atau wang yang perlu dizakatkan.

Manakala adik pula bukanlah tanggungan wajib, maka zakat boleh diberikan kepada mereka. Namun begitu, adalah lebih baik jika saudara menunaikan zakat kepada institusi zakat dan berhubungan terus dengan institusi zakat di tempat saudara agar bantuan zakat secara lebih teratur dapat disalurkan. Wallahua’lam.

3. Tiga tahun dahulu, suami saya ditimpa kemalangan. Sejak dari itu, sayalah yang menjadi sumber pendapatan keluarga. Saya turut dikenakan zakat. Jadi, adakah saya boleh menyalurkan zakat saya kepada suami saya?

Semoga puan terus dikurniakan dengan ketabahan demi meneruskan kehidupan. Amat besar ganjaran kesabaran kepada seorang isteri, seperti mana besarnya kesabaran Siti Khadijah di sisi nabi, amin.

Sesungguhnya suami bukanlah merupakan ahli yang wajib ditanggung saraan hidupnya oleh seorang isteri. Ini kerana, Islam mewajibkan seorang suami yang keluar mencari pendapatan. Isteri tugasnya ialah menguruskan rumah tangga suaminya.

Walau bagaimanapun, atas keperluan semasa maka puan yang kini mencari rezeki. Maka, dari sudut hukum sah zakat jika diberikan kepada suami puan.

Namun begitu, adalah lebih baik jika puan menunaikan zakat kepada institusi zakat dan berhubungan terus dengan institusi zakat di tempat puan agar bantuan zakat secara lebih teratur dapat disalurkan demi kebaikan suami dan keluarga puan. Wallahua’lam.

4. Muallaf disebut sebagai asnaf zakat. Persoalannya, berapa lamakah mereka dikira sebagai asnaf dan apakah bentuk-bentuk bantuan yang disediakan kepada muallaf?

Muallaf merupakan asnaf yang muqaddam (utama) dalam agihan harta zakat. Allah SWT meletakkan asnaf muallaf sebagai utama, memandangkan golongan ini masih lemah imannya dan perlu dilunakkan hati mereka kepada Islam.

Dalam konteks amalan di Selangor, seseorang itu masih dianggap muallaf sehingga usia keislamannya memasuki lima tahun. Selepas dari itu, mereka dianggap sama tarafnya seperti muslim yang lain.

Banyak bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka, sama ada sara diri, bantuan pendidikan, perkahwinan, modal perniagaan dan sebagainya. Seperkara yang wajar diingatkan, seorang muallaf itu masih berhak menerima zakat biar pun dia seorang yang tidak miskin.

Ini kerana, dia menerima zakat atas asnaf muallaf yang bertujuan untuk mengukuhkan keimanannya, sedangkan fakir miskin dibantu adalah demi keperluan hidupnya.

5. Saya adalah guru yang kini sedang cuti belajar menyambung pelajaran. Oleh itu saya hanya dibayar separuh gaji. Soalannya, adakah saya masih wajib menunaikan zakat? Adakah saya layak mendapat bantuan zakat?

Disebut di dalam kitab fikah, pencari ilmu layak mendapat bantuan zakat daripada asnaf fi sabilillah. Imam an-Nawawi misalnya, menyatakan hokum mencari ilmu adalah fardu kifayah. Maka, memang wajarlah seorang pencari ilmu diberikan zakat, lantaran kesibukannya berkerja boleh mengganggu pendidikannya.

Oleh itu, saudara layak memohon bantuan zakat bagi menyelesaikan sebahagian keperluan pendidikan saudara. Manakala, jika keperluan pendidikan saudara sendiri memerlukan biaya yang sangat tinggi, maka saudara boleh menangguhkan dahulu zakat tersebut.

Walau bagaimanapun, jika pendapatan saudara sendiri berlebih daripada keperluan hidup, maka hendaklah dizakatkan. Ia bukan sahaja wajib malah menambahkan keberkatan kepada kehidupan saudara.

6. Bagaimanakah kemiskinan ditentukan. Ini kerana, kadangkala ibu tunggal yang kematian suami dan menerima pencen ribuan ringgit pun masih menerima zakat?

Bagi menentukan sama ada seseorang itu termasuk dalam kategori fakir, miskin atau kaya, maka institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor menggunakan suatu kaedah yang dinamakan had al-kifayah.

Kaedah had al-Kifayah ini, secara umumnya akan melihat pendapatan sesebuah keluarga berbanding kegunaan isi rumahnya. Misalnya, jika pendapatannya RM2000.00; tetapi tanggungannya adalah 10 orang, maka ia boleh jadi dikategorikan miskin.

Secara lebih terperinci, seseorang itu dianggap miskin jika pendapatan yang diperolehi hanya mampu memenuhi lebih separuh daripada keperluannya. Misalnya, Si A memerlukan RM10 sehari, namun dia hanya mampu mendapat RM6-RM7. Tidak sampai pun RM10, maka ia miskin.

Manakala, fakir pula ialah mereka yang hanya mampu mendapat kurang daripada separuh daripada keperluannya. Jika Si A memerlukan RM10, dia hanya mendapat RM3-RM4. Tidak sampai pun RM5, maka di adalah fakir ataupun diistilah miskin tegar.

Sebab itulah, kaedah had al-Kifayah di atas diperlukan demi memastikan penerima zakat memang benar-benar layak dan tidak berlakunya salah tafsiran dalam menentukan kaya-miskin. Ini kerana, jika hanya diukur menerusi mata kasar manusia sahaja, maka pasti banyak berlaku kesilapan