banner ad

Zakat Simpanan & Saham

1. Saya ada menyimpan wang di bank, jadi apakah ia wajib dizakatkan? Bagaimanakah mengira zakat wang simpanan?

Maksud wang simpanan ialah wang yang disimpan sama ada di dalam akaun simpanan di mana-mana institusi kewangan seperti bank mahu pun institusi lain seperti ASN dan ASB. Ia meliputi akaun simpanan tetap mahu pun simpanan biasa.

Zakat dikenakan ke atas baki terendah simpanan di dalam tempoh setahun. Sebagai contoh, Ahmad mempunyai simpanan pada awal tahun 2007 sebanyak RM10 ribu dan sepanjang tahun itu berlaku keluar dan masuk wang simpanan sehinggalah ke akhir tahun 2007 simpanannya berjumlah RM50 ribu. Ahmad hendaklah melihat pada tarikh bilakah di dalam tahun itu, wang simpanan beliau berada pada baki terendah.

Katakanlah pada 15 Julai 2007, baki terendah simpanan Ahmad ialah RM7 ribu dan nisab pada tahun 2007 ialah RM6 ribu (maknanya wang simpanan itu melebihi nisab zakat), maka Ahmad hendaklah menggunakan nilai RM7 ribu itu untuk dikirakan zakat.

Maka, RM7,000 X 2.5% = RM175 wajib dizakat sebagai zakat simpanan Ahmad pada tahun 2007.

Nota: Seandainya Ahmad mempunyai lebih dari satu akaun, maka beliau hendaklah mencampurkan semua baki terendah pada setiap akaun simpanan dan mendarabkannya dengan 2.5% bagi mendapatkan jumlah zakat simpanan beliau. Sekiranya Ahmad menyimpan di simpanan yang berfaedah, maka Ahmad hendaklah terlebih dahulu menolak jumlah faedah tersebut sebelum dikirakan zakat.

2. Saya telah membuat pinjaman peribadi sebanyak RM50 ribu. Kemudian, RM30 ribu saya masukkan ke dalam akaun simpanan tetap yang mempunyai tempoh matang tiga tahun. RM20 ribu lagi saya masukkan ke dalam akaun simpanan biasa yang sering saya gunakan. Apakah wajib saya berzakat ke atas nilai RM50 ribu itu dan bagaimanakah cara mengiranya?

Pertamanya, harus dikenal pasti adakah pinjaman itu daripada sumber Islamik atau konvensional. Jika dari sumber Islamik, baharu dikira zakat. Jika konvensional, maka wang itu tidak harus dizakatkan.

Keduanya, saudara harus memastikan adakah saudara mempunyai sempurna milik ke atas wang tersebut. Apabila saudara memasukkan RM30 ribu ke dalam simpanan tetap, dan tempoh matangnya adalah selepas tiga tahun, maka selama itu saudara tidak boleh mengeluarkan dan menggunakan wang tersebut. Maka, selama tiga tahun itu tidak ada sempurna milik kepada saudara. Maka, saudara hanya wajib berzakat setelah dikeluarkan tiga tahun kemudian dengan mengambil kira jumlah keseluruhannya dan dikeluarkan sebanyak 2.5 peratus.

Manakala, nilai RM20 ribu yang saudara masukkan ke dalam akaun simpanan biasa, maka cara mengiranya sama seperti wang simpanan lain. Iaitu, dalam tempoh setahun ambillah baki terendah simpanan dan darabkan dengan 2.5 peratus. Saudara tidak wajib berzakat atas nilai RM50 ribu semasa saudara baru mendapatkannya, kerana pada masa itu wang saudara masih belum cukup haul.

3. Saya ada membuat pinjaman bank melalui Skim Saham Amanah. Wang yang dipinjam ini akan dilaburkan terus ke dalam mana-mana saham amanah. Saya tidak boleh mengeluarkan wang itu atau pun dividennya sehinggalah tempoh matang 10 tahun. Soalannya, adakah saya wajib menunaikan zakat ke atas wang dalam akaun saham amanah itu?

Pertamanya, eloklah dikenal pasti terlebih dahulu apakah saham amanah itu mematuhi piawaian syariah atau tidak. Ini demi mengelakkan saudara terjebak ke dalam isu riba dan sebagainya. Kedua, pinjaman itu juga mesti dipastikan tidak bercanggah dengan syarak, jika ia melibatkan unsur riba, maka eloklah dihindarkan. Ini kerana, zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang halal.
Seterusnya, zakat ke atas wang pelaburan itu pula, mesti dilihat kepada kemampuan saudara menggunakannya kembali. Iaitu, sempurna milik. Jika selepas tempoh 10 tahun baharu ada sempurna milik, maka ketika itulah baharu datangnya wajib zakat ke atas nilai pelaburan di dalam saham amanah itu.

Selain itu, jika sepanjang 10 tahun itu saudara boleh mengeluarkan sebahagian daripadanya, maka ia akan tunduk kepada zakat jika wang yang saudara keluarkan itu melebihi paras nisab semasa.

4. Saya mengeluarkan wang KWSP saya sebanyak RM40,000.00 bagi tujuan membayar ansuran rumah. Adakah saya kena menzakatkan wang tersebut, sedangkan saya langsung tidak memegang wang itu kerana KWSP telah mengeluarkan cek dan ia dibayar terus kepada bank?

Wang yang disimpan di dalam KWSP dikategorikan sebagai wang simpanan. Walau bagaimanapun, sepanjang wang itu berada di dalam simpanan KWSP, syarat sempurna milik masih belum ada. Oleh itu, saudara masih belum wajib mengeluarkannya. Hanya apabila saudara membuat pengeluaran, maka saat itulah datangnya kewajipan berzakat.

Menurut fatwa di Selangor, amalan yang paling afdal ialah saudara terus menunaikan zakat KWSP tersebut sebanyak 2.5 peratus daripada jumlahnya semasa pengeluaran. Sungguh pun saudara tidak memegang wang KWSP kerana ia dibayar terus kepada bank; namun saudara masih mendapat manfaatnya. Maka, ambillah wang dari mana-mana sumber lain bagi menjelaskan zakat KWSP tersebut.

5. Majikan saya baru-baru ini memberikan saham syarikat sebanyak 4000 unit dengan nilai RM5 seunit kepada semua kakitangan. Namun begitu, saham itu hanya boleh dijual setelah tempoh setahun dan kakitangan hanya dibenarkan memiliki 50 peratus daripada harga jualan. Persoalannya, adakah saya wajib mengeluarkan zakat apabila menjual saham itu nanti?

Saham itu hendaklah dipastikan saham yang mematuhi piawaian syariah. Jika ia tidak tunduk kepada syariah, misalnya menceburi bidang perniagaan yang haram, maka pengembangan daripada pokok saham saudara itu tidaklah boleh dizakatkan. Hanya pokoknya sahajalah yang wajib dikirakan zakatnya.

Dalam kes di atas, ia bermakna saudara mendapat saham yang keseluruhannya bernilai RM20,000.00. Secara kasarnya, ia memang telah melebihi nisab. Namun, katakanlah setelah tamat setahun, harga jualan melebihi daripada harga asal. Andaikan ia berharga RM7 seunit, maka saudara sudah memiliki RM28,000.00.

Oleh kerana majikan hanya membenarkan separuh dimiliki oleh saudara, maka zakat hanya dikenakan 2.5 peratus ke atas nilai RM14,000.00.

6. Tindakan manakah yang lebih afdal bagi saya apabila mengeluarkan KWSP. Sama ada saya menunaikan terus zakatnya atau ditangguhkan terlebih dahulu?

Bagi menjawab soalan ini, pertamanya suka dinyatakan bahawa menyegerakan pembayaran zakat adalah sangat digalakkan. Ini kerana, kemungkinan besar apabila menunggu selepas setahun, maka wang KWSP itu sudah pun habis digunakan dan bakinya sudah terkurang daripada nisab untuk dizakatkan. Firman Allah SWT: “Maka berlumba-lumbalah kamu dalam membuat amal kebaikan,” (al-Baqarah: 148).

Walau bagaimanapun, memang ada pendapat kedua yang membolehkan seseorang itu menangguhkan pembayaran sehingga selepas setahun. Ini kerana, apabila dikeluarkan wang KWSP maka kala itu, pemilik baharu sahaja mendapatnya. Ia masih belum cukup tempoh setahun (haul) bagi dikeluarkan zakatnya.

Jika merujuk kepada amalan di Selangor, adalah digalakkan kepada penerima wang KWSP untuk bersegera menunaikan zakatnya. Ini kerana, di kalangan sahabat Nabi SAW sendiri, memang ada yang menunaikan zakat sebelum haulnya (hadis al-Abbas daripada Abu Daud dan Ibn Majah). Jika ditakuti selepas setahun habis wang itu digunakan, maka eloklah segera berzakat. Inilah amalan yang digalakkan di sisi Islam lagi terpuji sifatnya.

7.